عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : لا تنزع الرحمة إلا من شقيّ
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda : “ Tidak dicabut sifat berbelas kasihan melainkan daripada orang yang jahat.” ( Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Ulasan Hadis :
1. At Toiyibi mengatakan : Ini kerana sifat belas kasihan sesama makhluk adalah daripada kelembutan di hati. Kelembutan di hati adalah tanda keimanan. Orang yang tidak berlembut hati, tiada keimanan baginya. Orang yang tidak mempunyai imana adalah jahat. Maka orang yang tidak berlembut hati adalah jahat. ( Tuhfah al Ahwazi)
2. Sifat lemah lembut merupakan salah satu daripada sifat ALLAH SWT, manakala insan yang paling berhati dan berjiwa lembut adalah Nabi kita SAW. Baginda merupakan manusia yang paling baik akhlaknya.
3. Sifat lemah lembut akan terzahir jika dihati kita memiliki sifat lembut, hati yang lembut tidak akan tercipta seandainya tidak dihiasi dengan keimanan.
4. Kita akan lebih mesra dan tenang apabila bersama dengan mereka yang berlemah lembut dalam pergaulan. Orang yang memiliki sifat yang lembut ialah orang yang sentiasa bertutur sopan dalam berbicara, menghindari daripada percakapan yang kasar serta bahasa yang menyakitkan hati orang lain, menerima teguran dan nasihat serta suka menasihati, mudah memohon maaf dan memberi kemaafan, cuba sedaya upaya mengelak daripada marah, serta menyembunyikan keaiban orang lain dan memiliki hati yang penyayang.
5. Nabi SAW pernah berhadapan dengan seorang arab badwi yang sangat kasar tingkah lakunya, apabila ditanya dan diminta untuk membahagikan harta rampasan perang dia telah meragut baju Nabi SAW berkali-kali dan meminta, namun Nabi SAW menjawab dalam keadaan yang lembut dan tidak marah walaupun sedikit, begitulah sifat lembut dan sabar Baginda SAW..sangat indah, jika kita berada di tempat Baginda apakah tindakan kita?
6. Marilah sama-sama kita berusaha sedaya upaya untuk bersifat dan bersikap lemah lembut dan menjaga akhlak. Lebih-lebih lagi terhadap mereka yang selalu bersama kita, bekerja bersama kita, bermuamalah seharian dsb. Semoga ALLAH mencantikan peribadi kita sepertimana DIA menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian.
No comments:
Post a Comment