عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال : تعس عبد الدينار والدرهم والقطيفة والخميصة إن أعطي رضى وإن لم يعط لم يرض ( رواه البخاري)
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda : “ Binasalah hamba kepada dinar dan dirham, dan hamba kepada kain tebal yang berbulu dan kain bercorak (ghairah dengan kemewahan dan kesenangan);sekiranya diberikan kepadanya ia meredai, sekiranya tidak diberikan ia tidak meredai.” ( Riwayat Al Bukhari)
Ulasan Hadis:
1. Hadis di atas menjelaskan berkaitan dunia dan ciri-ciri hamba kepada dunia.
2. Ciri-ciri hamba kepada dunia ialah mereka yang mengejar kemewahan dunia, seperti harta benda, pakaian mewah, dan apa sahaja yang menjadi tumpuan dunia, selagi terdaya dihimpun, sedangkan keperluan mereka terhadap dunia sudah mencukupi, dan apabila tiada, hilang atau binasa mereka bersedih, susah hati dan tidak meredhai.
3. Dunia seharusnya kita jadikan sebagai hamba, telah menjadi sebaliknya menjadi tuan kita. Sehingga dia menguasai dan mengatur semua organ tubuh kita.
4. Setiap hari kita berselimutkan dunia, kecintaan kita terhadap dunia memadamkan nur di hati kita, wujudlah rasa kebanggaan dalam diri kita dengan harta yang dimiliki, jabatan yang kita duduki, jawatan yang kita nikmati, kekuasaan yang kita pegang menjadikan kita hanyut dan larut di dalam kelalain, kegersangan hati daripada dibasahi airmata kepada ALLAH, kerana terlalu bahagia dengan kesenangan dunia yang sedikit cuma.
5. Dengan sebab dunia, ia telah mengalihkan pandangan kita daripada mengingati ALLAH apatah lagi takut kepadaNYA. Kita akan sanggup mengutamakan kehendak dan permintaan dunia dan makhluk sehingga mengetepikan syariat ALLAH, oleh kerana takut kehilangan dunia, harta dan kawan, pujian serta kasih sayang, sedangkan semuanya datang daripada ALLAH.
6. Dunia dan seisinya diserahkan oleh ALLAH kepada kita untuk kita kelolakan ia sebagai bekalan akhirat. Sesungguhnya dunia itu terbatas umurnya, sementara kenikmatannya, janganlah kita melampaui batas hingga kurang atau hilang ketaatan dan kecintaan kita kepada ALLAH.
Nabi SAW berpesan kepada kita jangan terlalu ghairah kepada dunia, harta dan segalanya tidak dapat menjamin keimanan kita di saat akhir kematiaan kita. Jangan biarkan hati dan jiwa kita dikuasai dunia, berusahalah untuk menguasainya. Jalan selamat ialah dengan menumpukan niat dan tujuan segala perbuatan dan perlakuan kepada ALLAH SWT, maka jadilah dunia ditangan tetapi bukan di hati. WALLAHU’ALAM
Dapatkan SMS dari Masjid As Salam dengan 8 sen 1 sms. Boleh dihantar dari PC/ laptop terus ke H/phone. Cepat, pantas dan tepat
ReplyDeleteBayar RM 80.00 kepada Masjid As Salam dan boleh terus guna sms - hubungi urusetia A Gani 014 2232425