Friday, January 7, 2011

UKHUWWAH (PERSAHABATAN)

Allah swt menganjurkan umat manusia untuk hidup sebagai satu rumpun yang damai dan harmoni. Peringatan ini dinyatakan dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan yang berpuak-puak adalah dengan tujuan berkenalan antara satu sama lain, sesungguhnya yang paling mulia disisi Allah adalah yang paling bertaqwa dari kalangan kamu.”

Inilah objektif kejadian manusia. Allah swt menjadikan manusia dengan tujuan untuk hidup bersama dengan perasaan hormat menghormati antara satu sama lain. Hidup bukan untuk bermegah-megah atau untuk mencari kesalahan dan kekurangan orang lain.

Dalam menentukan kesinambungan hidup manusia perlu kepada akhlak sebagai pengukur terhadap apa yang dilakukan seharian. Peranan akhlak cukup besar dalam kehidupan umat Islam. Sifat-sifat tercela pastinya tidak akan subur jika seseorang itu diawasi dengan akhlak yang mulia atau dipanggil sifat mahmudah (sifat terpuji). Antara sifat mahmudah ialah bermaaf-maafan, tolong menolong, bertimbangrasa dan sebagainya.

Selain daripada kita dapat hidup dengan tenteram dengan sifat mahmudah tersebut, kita juga akan mendapat balasan pahala yang berganda-ganda dari Allah. Banyak hadis Rasulullah yang menggambarkan perkara ini, antaranya yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang terbaik akhlaknya”

( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh al_Nawas b. Sam’an r.a berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebajikan dan dosa lalu baginda berkata: kebajikan adalah berakhlak baik dan dosa adalah teragak-agak untuk melakukan kebaikan.

( Riwayat Muslim)

Kesan buruk daripada sifat tercela yang bersarang dalam hati dapat dilihat sepertimana yang terdapat dalam hadis berikut iaitu yang bermaksud:

Tiga golongan yang Allah swt tidak akan bercakap dengan mereka di akhirat: Lelaki Tua yang berzina, pemilik yang berbohong dan fakir yang takabbur.

(Riwayat Muslim)

Kehidupan bermasyarakat

Dalam kehidupan bermasyarakat terdapat pelbagai jenis dan ragam sesuatu masyarakat. Bak kata orang rambut sama hitam tapi hati lain-lain, namun begitu kita perlu ingat kita hidup sebagai seorang individu muslim yang mempunyai matlamat hidup yang satu iaitu hidup sebagai hamba Allah yang patuh dan taat. Kalau itu matlamat hidup kita maka kita perlu mewujudkan suasana tersebut dan mengenepikan persoalan yang remeh temeh dalam kehidupan. Kalau tujuan hidup mencari keredaan Allah maka sampingkanlah apa yang lain. Konsep ta’awun (tolong-menolong) dan musyawarah (berbincang) amat penting dalam kehidupan bermasyarakat, barulah kita dapat hidup dengan baik serta diredhai Allah. Allah swt mengingatkan kita tentang ini dalam al-Quran (al-Maidah: 2) yang membawa maksud:

“Bantu membantulah dalam perkara-perkara kebajikan dan jangan tolong menolong dalam hal-hal yang berkaitan dosa dan permusuhan”

Allah mengingatkan kita tentang tolong menolong dalam kebaikan dan jauhi diri dari kemaksiatan. Jangan kita cuba mengelak dari membantu kearah kebaikan dan kita jangan sekali-kali menggalakkan maksiat atau kemungkaran.

Cukup menyedihkan dalam kehidupan umat Islam hari ini apabila sebahagian daripada mereka bertindak sebagai batu api yang menggalakkan permusuhan antara umat Islam. Perkara ini amat dicela oleh Islam.

Konsep ‘musyawarah’ mesti dihidupkan dalam realiti kehidupan umat Islam. Banyak perselisihan berlaku dalam kehidupan kita adalah disebabkan ‘misunderstanding’ atau ‘misinformation’. Jika kita amalkan konsep musyawarah maka pastinya bibit-bibit perpecahan tidak akan berlaku. Dalam satu asar yang bermaksud:

“Tangan (Pertolongan dan keberkatan) Allah bersama kumpulan.”

Satu lagi konsep yang penting mesti dihidupkan dalam masyarakat kita hari ini ialah, konsep mempermudahkan dan jangan menyusahkan. Jika konsep ini dihidupkan pastinya kemesraan akan terjalin sesama anggota masyarakat. Kadangkala kita terlalu mengikut prosedur yang tidak diperlukan walhal jika tidak diikut pun ianya tidak memudaratkan sesiapapun. Namun begitu pihak yang satu lagi mestilah cuba memahami agar jangan terlalu mempermudahkan sesuatu urusan. Kita diajar untuk beradab, tidak menjadi kesalahan jika kita berbincang agar mereka yang berwajib merasakan kita menghargai mereka.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama berlapang dada dan bertolak ansur di kalangan sahabat-handai kita agar konsep ‘ukhuwwah’ yang sering diwar-warkan oleh Islam dapat dihayati dan diamalkan oleh kita bersama. Tiada kemuliaan melainkan dengan menuruti segala panduan dan tunjuk ajar yang telah ditunjukkan Islam. Semoga usaha ini mendapat keberkataan Allah swt.

Sekian terima kasih. Wallahua’lam…

No comments:

Post a Comment