Wednesday, April 9, 2014
IMAM MUDA IMAM II MASJID ASSALAM TELAH KEMBALI KERAHMATULLAH !
Husnul khootimah.
"Betulkan sof. Penuhi sof di hadapan. Rapat2kan sof. Rapatkan bahu tuan2 agar Allah rapatkan siratulrahim antara kita. Solatlah seumpama ini solat yang terakhir buatmu." Menjadi rutin ungkapan Ustaz Haqim, Imam-2 Masjid as-Salam setiap kali mengimami solat fardu. Satu lagi yang menjadi amalannya ialah tidak tinggal membaca ayat Qursi setiap kali bersama zikir selepas solat. Ustaz Haqim juga tidak banyak bicara dan sentiasa murah dengan senyuman. Nama penuh beliau ialah Muhammad Haqimuinuddin Bin Hamzah.
Perwatakannya lembut dan disenangi ramai. Bila berdepan dengan tohmahan atau tuduhan orang yang kritikal terhadapnya, dia masih mampu tersenyum. Bacaannya sangat baik terutamanya tika membimbing jemaah dalam bacaan surah Yaasin atau surah al-Mulk beramai-ramai. Begitu juga tika membimbing kuliah maghrib membaca Kitab perihal alam barzakh, Ustaz menutur kata dengan teratur, lembut dan straight forward hingga tersentuh hati2 yang menjiwainya. Di surau al-Mutaqqin kuliah Ustaz Haqim yang terakhir ialah berkenaan pengurusan jenazah.
Semalam Allah menjemput Ustaz Haqim pulang ke rahmtullah pada pukul 12 tgh di usia 28 tahun, meninggalkan seorang isteri, dua orang anak kecil, ribuan anak murid, saudara mara, sahabat dan taulan. Perginya pada usia yang masih muda, begitulah kalau sudah dikasihi Allah.
Arwah terlantar koma selama 9 hari di ICU Hospital Sg Buloh setelah ditimpa kemalangan jalanraya tika dalam perjalananan ke Masjid as-Salam untuk solat fardu zohor. Arwah mengimami solat fardu subuh di masjid pada paginya.
Antara tanda kematian yang husnul-khootimah ialah pertama bilangan yg ramai untuk solat jenazahnya, kedua bila percakapan yg baik2 oleh orang ramai perihal arwah. Kedua-dua ciri ini ada pada arwah Ustaz Haqim. Ribuan orang mula memenuhi masjid as-Salam selepas zohor sejak berita tersebar tentang kepulangan arwah ke rahmatullah. Arwah di mandi dan dikafankan di Hospital Sg Buloh oleh gurunya Ustaz Hazri Hashim.
Jenazah tiba di masjid sekitar pukul 5:30 ptg. Saya kira ada 18 sof muslimin dan 3 sof muslimah yang mensolatkan jenazah. Kemudian para jemaah beratur untuk menatap wajah Ustaz Haqim buat kali terakhir di sebalik lilitan kafannya. Perjalanan 5 km van jenazah ke tanah perkuburan berlepas pada pukul 6:23ptg.
Arwah selamat di semadikan di tanah perkuburan Bukit Sentosa dengan penutup bacaan talqin dan doa oleh Ustaz Wan Mohd Shamsuddin, Ustaz Hazri Hashim dan Ustaz Abd Aziz Lutfi menjelang azan maghrib berkumandang.
Allah telah muliakan Ustaz Haqim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya dan memberi kehidupan yang selesa buatnya sepanjang berada di alam barzakh itu. Seorang lagi ulama' muda ahli syurga yang sukar di cari ganti selamat pergi menemui Illahi.
Kita yang masih hidup ini bagaimana? Ya Allah berkati sisa usia kami ini dan hidupkan kami dalam iman dan matikan kami dalam iman dengan kematian yang husnul khootimah.
Sunday, April 6, 2014
CINTA MENUNDUKKAN HATI
Cinta Menundukkan Hati
Siapa kita yang melayakkan untuk dapat kasih Allah? Kita manusia yang cukup hina dengan maksiat dan dosa. Bila Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW perihal kenapa Rasulullah SAW begitu bersungguh-sungguh melakukan ibadah? Maka Rasulullah SAW menjawab salahkah aku menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah?
Siapa kita? Orang yang tidak pernah tambah ibadahnya. Orang yang jarang benar bangun untuk solat malam. Orang yang liat benar untuk puasa melainkan puasa Ramadan. Berapa ramai orang walaupun sudah tua yang masih tidak kenal masjid hingga ke saat ini? Masih sibuk dengan proposal dan kertas kerja mengejar projek itu dan ini.
Kita orang yang banyak dosa. Tanya diri. Berapa kali kita beristighfar hari ini? Tahukah kita rukun2 dan syarat2 taubat? Tahukah kita rukun2 solat? Tahukah kita syarat2 sah pada setiap rukun solat itu? Begitulah taubat, punyai syarat2 pada setiap rukunnya.
Asalnya kita kena usha, ikhtiar dan mujahadah supaya dapat masuk kategori yang layak mendapat kasih sayang Allah. Tapi lemah benar kita ini, sentiasa gugur oleh panahan nafsu dan imarah apatah lagi godaan syaitan.
Langkah berikutnya ialah dengan menumpang barokah orang2 soleh. Ibarat menempel dengan orang2 soleh. Kerana kita boleh muhasabah dan nilai kualiti amal ibadah kita yang lemah itu. Mana pergi hati kita tika solat itu?
Kita mohon pada Allah sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari dalam 17 rakaat solat2 fardhu kita, "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat."
Siapa orang2 yang telah Allah bagi nikmat ini? Itulah para solihin, shuhada dan para ambiya yang begitu kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW melebihi kasih kepada makhluk yang lain. Kita minta untuk menumpang mereka ini di jalan yang lurus menuju redha Allah.
Apakah mampu menjadi seperti seorang perempuan Ansar (Madinah) yang begitu kasih kepada Rasulullah SAW hingga tidak ambil peduli kematian suaminya, bapa, anak2 dan adik beradiknya yang gugur syahid di medan perang kerana begitu risau perihal nasib yang menimpa Rasulullah SAW. Baginya semua musibah yang Allah uji itu kecil sahaja kecuali musibah yang menimpa Rasulullah SAW. Maka selayaknya perempuan Ansar ini di kasihi Allah.
“Jika Allah SWT mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah SWT mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya akan menanamkan bagi mereka Dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam:96)
Begitulah besarnya cinta Allah. Namun bagaimana caranya untuk kita meraih cinta Allah, cinta yang hakiki nan abadi? terdapat tiga alamat besar tanda cinta seseorang kepada Allah iaitu:
Banyak mengingati pada yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya. Apabila seseorang itu mencintai sesuatu atau seseorang, maka sudah tentu beliau kan sentiasa mengingatinya di hati atau menyebutnya dengan lidah. Oleh yang demikian, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa mengingati-Nya dalam apa keadaan sekalipun sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Al-Anfaal:45)
Tunduk pada perintah orang yang dicintainya dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Firman Allah : “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (A’li Imran:31)
Mengutamakan Allah dan Rasul lebih dari keutamaan yang lain, Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).(at-Taubah:24)
Maka dapatlah kita simpulkan bahawa cintakan Allah dan Rasulullah SAW itu bukan hanya dengan lafaz semata-mata. Cinta itu hendaklah diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan sehingga seorang yang benar-benar cintakan Allah dan Rasul menjadi insan taat dalam kehidupan bersyariat.
Bahkan mereka tidak senang dengan setiap pelanggaran terhadap syariat yang telah diturunkan oleh kekasih yang mereka cintai iaitu Allah. Mereka juga tidak akan mengkhianati cinta mereka dengan mengabaikan hak kasih kekasih mereka iaitu Rasulullah SAW.
Cinta mengumpul dua insan yang tidak pernah kenal. Semua yang jadi penghalang akan di atasi. Semua tidak diendahkan lagi kerana cinta. Cinta itu menundukkan hati untuk patuh taat kepada yang di cintai. Ya Allah aku zikir tapi hatiku lalai. Teruskan zikirmu.
Para sahabat cintakan Rasulullah SAW melebihi cinta kepada diri sendiri, maka ikutlah jalan ini supaya terpilih oleh Allah untuk kasih. Moga2 kita mendapat taufiq Allah, dibimbing Allah dan dipimpin untuk hampir kepada Allah dan di kasih oleh seluruh penduduk langit dan bumi.
Thursday, February 20, 2014
Sunday, January 26, 2014
PASUKAN PEMUDA ASSALAM MENYERTAI KEJOHANAN FUTSAL REMAJA ANTARA MASJID
Alhamdulillah Masjid Assalam sedia dan telah membuka ruang selain aktiviti ibadah malah dalam aktiviti riadah untuk kesihatan dan mengujudkan ukhuwah antara remaja masjid dengan remaja masjid yang lain amat dialu-alukan. Minggu ini remaja dan pemuda anak-anak kariah Masjid AsSalam telah memberi peluang dan galakkan bermain futsal dalam kejohanan Futsal Belia Masjid Daerah Hulu Selangor anjuran Unit Pengurusan Masjid Daerah Hulu Selangor pada 26/1/2014.Dilaporkan Pasukan mewakili Masjid AsSalam dalam perlawanan pertama telah mengalahkan pasukan Masjid Batangkali 2 : 0 manakala perlawanan ke 2 kalah kepada Masjid Soeharto 0:5 dan kalah perlawanan ke 3 dengan Masjid Sg, Buaya 1:3
Friday, January 10, 2014
JADILAH SEBAGAI ORANG ATAU MANUSIA !
Allah nilai keikhlasan amal seseorang. Allah tak terima amal orang yang tak ikhlas. Maka berikan yang terbaik. Habil anak Nabi Adam telah mempersembahkan seekor binatang peliharaannya yang paling sihat dan gemuk sebagai korbannya dan Allah telah menerima korbannya itu. Berbanding dengan persembahan korban Qabil yang bermutu picisan.
Jika kita ingin bersedekah atau menderma maka berilah yang terbaik dengan ikhlas, bukan menggunakannya sebagai peluang untuk clear stor. Kita beri barang yang kita tak nak? Seolahnya tidak ikhlas dengan Allah. Bantu orang susah dengan barang baru bukan barang 2nd hand. Bantu duit tiada masalah kalau nak bagi duit 2nd hand keran nilainya masih tetap sama.
Kita derma kepada anak yatim itu pada hakikatnya kita beri kepada Allah. Maka pastikan ikhlas dan beri yang terbaik. Tujuan amal ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah, untuk mendapatkan redha Allah. Allah terima doa daripada orang2 yg bertakwa. Abu Darda RA berkata kalau aku solat dan aku rasa Allah terima, itulah yang paling baik daripada seisi dunia.
Orang bertakwa ialah orang yang memberati amal dia Allah terima. Rajin2lah berdoa, "Ya Allah, tolong terima amal aku ini." Bukan semua amal Allah terima. Justru kenalah beringat dengan amal yang kita buat dan gantung harap agar Allah terima. Persoalan amalnya diterima atau tidak diterima menjadi perhatian yang amat diambil kira bagi orang yang beriman.
Cuba perhatikan segala nikmat yang Allah kurniakan. Nescaya tidak terhitung banyaknya. Nikmat makan nikmat buang air nikmat tidur. Macam2 nikamt ada. Semua ini adalah asbab untuk kita mengenal Allah. Kerana Allah pemilik segalanya ini. Kita tidak miliki apa2. Semuanya Allah punya. Kekayaan yang ada hanya wasilah bukan matlamat. Akal juga wasilah untuk mengenal Allah.
Allah hiasi manusia dengan akal free of charge. Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan kamu tidak mengenal sesuatu pun. Sebijak mana pun manusia melalui akal yang hebat tidak boleh mengatasi Allah. Setiap produk atau teknologi ciptaan manusia akan pasti ada kelemahan dan kekurangannya. Bijak mana pun sekadar kurniaan Allah. Membuktikan adanya Allah dan hebatnya Allah.
Islam mengalakkan umatnya jadi orang kaya. Orang kaya dapat keluarkan zakat. Jangan seperti Qorun iaitu seorang pengikut Nabi Musa yang mintak nak kaya tapi bila kaya lupa Allah, angkuh mengatakan kekayaan aku ini milik usaha kuat aku. Akhirnya Qorun dimusnahkan bersama hartanya ditelan bumi. Manusia berlumba nak kesenanagan, berangan-angan nak dapat apa yang Allah beri pada Qorun.
Orang kaya bantu orang miskin. Orang miskin kena kerja dengan orang kaya. Usah bergantung kepada kerajaan, bantu-membantu. Kekayaan yang ada mesti diagih untuk kepentingan bersama. Nak sambung kerja sampai umur 60 tahun sebab nak bayar hutang yang belum habis-habis. Itu tak kena. Kamu tolong Allah nescaya Allah tolong kamu. Hiduplah berpada. Usah berhutang lagi.
Cuba lihat sistem sekolah anak2 kita. Masuk kelas pukul 1:00 tgh. Tak sempat solat zohor lagi sebab zohor masuk pukul 1:23 tgh. Ada cikgu mintak budak2 pergi solat zohor? Ada kawan saya membekalkan sejadah dalam beg anaknya supaya dapat solat dalam kelas. Bila dia tanya cikgu kenapa tak suruh budak2 ni solat, cikgu tu menjawab, "Kita wajibkan untuk pelajar2 darjah empat ke atas."
Balik sekolah pukul 6:00 ptg. Kalau balik naik bas sekolah, dah maghrib baru sampai rumah. Ada solat asar? Itulah hakikatnya betapa anak2 kita majoritinya tidak solat pun. Sepatutnya sistem sekolah ni kena atur awal2 lagi soal solat ini. Sebagai bapa kena perhatikan, kalau anak aku ni tak jadi orang maka berhentikan daripada sekolah itu dan hantarlah belajar di sekolah2 tahfiz.
Apa maksud anak aku tak jadi orang? Maksudnya anak aku tak solat. Itu tanda anak dah tak jadi orang. Kenapa teruskan dalam satu sistem yang tidak menjadikan anak kita seorang orang. Seorang hamba Allah yang taat pada Penciptanya. Kena betulkan awal, kalau terlambat payah untuk melentur anak2 kita ini.
Allah bagi ilmu. Ilmu yang paling besar ialah taat pada Allah. Ingat kita ini sakit pun mati, tak sakit pun mati, sihat pun mati, tak sihat pun mati. Kena nilai balik. Bukan tunduk kepada makhluk tetapi tunduklah kepada Pencipta makhluk. Makhluk dapat kurniaan Allah, maka tunduk kepada pemberi kurniaan.
Pastikan sebelum mati, dapat masuk syurga dulu. Iaitu pastikan taat kepada Allah. Bagi orang yang beriman, dia tidak pelik dengan kekayaan Qorun. Orang beriman lebih tenang tengok isterinya, lebih tenang tengok anak2nya yang taat kepada Allah. Makin tua makin nak beribadah makin rasa tenang.
Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabarann. Jadi orang yang beriman dan beramal soleh. Kekal di jalan yang lurus menuju redha Allah. Jadi orang.
@@@
Tuesday, December 31, 2013
AMBANG 2014
Ambang 2014
Bagaimana pencapaian anda pada tahun 2013? Puas hati, kecundang lagi atau aiman tak kisah. "Saya tak pernah sambut tahun baru. Saya juga tak pernah set azam tahun baru," kata Zul kawan seofis saya. "Saya nak buat, maka saya buat, tidak perlu pasang azam tahun baru," tambahnya lagi.
Pasang azam tahun baru ini maknanya ada niat atau ada rancangan untuk buat sesuatu pada tahun baru nanti. Yang lebih afdal ialah di tulis atau dipahatkan supaya jelas apa perancangan itu. Yang utama lagi ialah usha atau perlakuan untuk menjayakan apa yang di rancangkan itu. Maka pada penghujung tahun sebegini bolehlah di muhasabah balik. Apakah aku ini hanya pandai tanam azam tapi gagal membajainya, menjaganya, dan menuai buahnya. Analisa yang masing2 boleh buat sendiri.
"Saya nak lihat satu sahaja sebelum saya memejamkan mata saya sebelum mati iaitu negara kita ini mengamalkan sistem ekonomi Islam," tiba-tiba Zul bersuara lagi. "Sebabnya sistem ekonomi yang kita ada ini ialah berdasarkan riba. Kita kena buang penggunaan matawang kertas ini kerana kewujudannya itu pun adalah berlandaskan riba. Pakar ekonomi sudah menyatakan bahawa nilai matawang kini akan berkurangan berbanding dengan nilai terdahulu, justru untuk mengimbangi nilai berkenaaan maka nilai tertentu mestilah di tokok tambah. Inilah dia kadar faedah atau bunga atau riba itu," jelas Zul dengan sebaiknya.
"Kalau nak buat sesuatu kena ada perancangan dan keikhlasan dalam perlaksanaannya," kata saya. Yang penting pihak berkuasa kenalah merancang untuk melaksanakan sesuatu inisiatif itu dan berusaha gigih untuk mendidik masyarakat, menyediakan segala kemudahan dan sistem infra bagi melaksanakannya pada sesuatu jangkawaktu yang ditetapkan. Contoh kita akan laksanakan sistem ekonomi Islam sepenuhnya di negara ini pada tahun 2020.
"Sebab itu kita kena bagi peluang Kerajaan yang mahu melaksanakannya untuk memerintah negara," kata Zul. Dengan kata lain Zul cuba menjelaskan Kerajaan sedia ada tidak bercadang untuk melaksanakan apa yang dia hajati tadi. Fahamlah saya.
Saya teringat kisah perlaksanaan hukum hudud di Brunei. Ia sudah di istiharkan sekitar beberapa tahun lepas oleh Sultan Brunei untuk melakasanakan hukum hudud di Brunei. Maka perancangan teliti telah di buat termasuklan memberikan pendidikan dan kesederan kepada rakyat, penyediaan modal insan, sistem penguatkuasaan, struktur infra dan kumpulan sokongan bagi kejayaan perlaksanaannya menjelang masa yang telah ditetapkan. Bila tiba tarikh sasarnya maka perlaksanaan dapat di lakukan dengan jaya. Maknanya langkah pertama ialah kena ada iltizam yang kuat, perancangan, pendidikan, persediaan dan perlaksanaan.
Kita lihat di Malaysia ada tak perancangan untuk implemen undang2 Hudud ini? Jawapannya agak jelas iaitu tidak. Bila ditanya kenapa tidak dilaksanakan hukum hudud? Maka jawapan standardnya ialah, "Kita belum bersedia." Jika di tanya 20 tahun akan datang soalan yang sama, saya hampir pasti jawapan yang sama akan tercetus. Kerana hakikatnya tiada rancangan pun nak laksanakannya. Kalau ada sudah tentu pihak pemerintah akan menghebahkan supaya orang ramai tahu kita nak laksanakan sistem Hudud pada tahun sekian-sekian sebagaimana yang berlaku di Brunei itu.
Sesuatu ibadah itu bermula dengan niat. Pada setiap tahun baru (walaupun tahun masehi) sangat afdal untuk menyediakan azam baru atau niat atau rancangan untuk dilaksanakan. Tanpa perancangan semuanya menjadi samar dan berlaku secara kebetulan atau ad-hoc sahaja. Bagi saya tidak salah untuk memasang azam tahun baru. Malah dapat menyumbang pahala jika di niatkan kerana Allah atau untuk mengikuti sunnah Rasulullah.
Saya bertanya seorang kenalan, "Apa azam tahun baru?" Dia menjawab, "Nak jadi lebih baik." Saya kata itu general sangat. Sepatutnya kena lebih terperinci. Contohnya jadi baik dengan banyak sedekah ke tabung masjid, kalau tahun 2013 dulu sedekah RM2, maka tahun 2014 ini saya azam sedekah RM3. Contoh lain mungkin kita berazam untuk belanja kawan makan sekali seminggu menggantikan sekali setahun sekarang ini.
Ustaz Hazwan dari Darul Ulum tempoh hari ada menyebut dalam kuliah maghribnya bahawa kita membuat sesuatu yang harus atas niat kerana cintakan Rasul kerana ia adalah perlakuan Rasul contohnya makan nasi, minum air, mandi, tidur dan sebagainya maka kita akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
Sangat utama lagi untuk mengambil berat segala hadis Rasulullah. Turuti sunnah Rasulullah pada setiap hukum-hakam, perbuatan, atau laranganya. Solat sunat sebelum subuh itu lebih besar daripada dunia dan seisinya. Maka afdal sangat untuk tanam azam baru untuk melaksanakan solat sunat sebelum subuh itu. Mendirikan solat berjemaah di sof pertama itu sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Maka janganlah kita tengok saja, berushalah untuk mara ke depan mendirikan solat di sof pertama itu.
Melebihkan orang lain dalam urusan ibadah itu, hukumnya makruh. Sebaliknya mendahulukan orang lain dalam urusan dunia, hukumnya sunat. Kita kadang tidak perasan kerana pahala ini tidak nampak dek mata kasar. Bila nampak? Di Akhirat nanti. Di Akhirat pahala kita akan di imejkan. Baru tau banyak atau sedikit, besar atau kecil saiz nya.
Segala amalan2 sunat hendaklah diushakan semaksima mungkin. Ibarat orang berniaga tentu mahu untung besar. Segala amalan sunat tadilah keuntungan besar kita semua di Akhirat nanti. Jarang orang berniaga sekadar nak balik modal. Kita buat segala amalan2 yang wajib pada hakikatnya sekadar nak balik modal sahaja. Apatah lagi bila meninggalkan amalan2 wajib itu maka hakikatnya anda menuju rugi besar dalam perniagaan anda tadi.
Ibadah solat witir itu Nabi tidak pernah tinggal. Menunjukkan betapa utamanya ibadah ini. Maka sebagai salah satu azam tahun baru sangatlah bermanfaat untuk menjadikan solat sunat witir ini sebagai salah satu perkara rutin harian. Hukum solat witir ini ialah sunat muakad iaitu ibadah yang sangat dituntut dan ditekankan. Nabi suruh buat, maka kita buat. Bagi perkara2 harus, berushalah untuk memasukkan ciri2 yang mengikut sunnah Rasulullah supaya ada nilaian pahala di sisi Allah.
Jangan pula sampai menyalahi sunnah Nabi contohnya menyakiti orang. Tika ibadah haji atau umrah ramai yang berebut untuk mencium Hajarul Aswad. Hukum menciumnya sunat. Tapi yang ramai terlepas perkiraan ialah berebut2 hingga menolak atau menyiku orang kerana mengejar untuk ke depan Hajarul Aswad sebenarnya sudah jatuh kepada benda haram iaitu menyakiti orang. Maka berjaga-jagalah daripada melanggar apa-apa larangan Nabi.
Sekiranya mentaati Nabi maka kita akan mendapat petunjuk. Pernahkah atau mampukah orang mengikut cara hidup Nabi? Pernah dan boleh. Para sahabat dan ulamak terdahulu sudah mebuktikannya. Kisah2 Nabi dan orang soleh banyak di ceritakan dalam Al-Qur'an untuk kita contohi dan ambil iktibar.
Tanamlah azam yang menjurus kepada menjadi manusia yang beriman dan bertakwa. Itulah yang membezakan kaca dengan permata. Ingatlah mati dan jangan terlalu cinta dunia. Hakikatnya segala yang kita miliki ini hanya pinjaman semata daripada Allah SWT. Hakikat hidup sebenar yang kekal abadi ialah di Akhirat nanti. Dunia dijadikan Allah untuk manusia, namun manusia dijadikan untuk Akhirat. Bijaksana jangan sekadar bijaksini.
Selamat menyambut tahun baru 2014.
Wednesday, November 13, 2013
Subscribe to:
Posts (Atom)








