Thursday, July 18, 2013

WAHAI PEMUDA INILAH JADUAL HARIAN KAMU!

Wahai Pemuda, ini pesanan Hassan Al-banna Untukmu! "Sudut paling merbahaya sekali pada sesuatu umat yang sedang membangun, terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan.. Iaitu lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju. Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi" Jadual Harian Seorang Muslim Di Bulan Ramadhan. 4.00 pagi Bangun Berdoa kepada ALLAH dengan doa : Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian. 4.20 pagi Solat Sunat Taubat Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepasAl-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa. Solat Sunat Tahajjud Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH. Solat Sunat Hajat Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita. Solat Sunat Witir Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita. 5.00 pagi Makan Sahur - Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut. 5.28 pagi Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari. 7.00 pagi Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAHagar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati. Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkanrasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat. 10.00 pagi Sembahyang Sunat Dhuha. Ia adalah sumber rezeki yg berkat kalau istiqamah diamalkan. Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yg sia-sia. Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrimmengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja. 12.45 tghr Bersiap untuk solat Zohor. Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud. Syukur setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA. 4.15 ptg Bersedia untuk solat Asar. Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA. 5.30 ptg Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dlm diri kita !!! 6.30 ptg Memperbanyakkan doa sebelum berbuka. Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima. Apabila masuk waktu magrib. Bacalah doa dan berbuka : Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat. 8.00 mlm Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih. Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus ( berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya) , cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan) 11.00 mlm Memperbanyakkan istigfar sebelum tidur. Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa ramadhanyg wajib ke atasku , tahun ini kerana ALLAH Taala. ( JANGAN LUPA!!!) Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah. Bacalah doa sebelum tidur : Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yg sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur. (IH)

Monday, July 8, 2013

TAHU KELEBIHAN TARAWIKH MERANGSANG MINDA UNTUK SERONOK MELAKUKANNYA

Kelebihan Solat Sunat Tarawih Ramadhan hampir menjelang. Apabila tiba bulan Ramadhan pasti kita teringat solat tarawih yang rajin sangat kita buat pada awal-awal minggu, dan semakin malas bila menjelang seminggu yang akhir. Sebab, dalam minggu-minggu akhir kita sibuk buat kuih raya, betul tak? Supaya kita lebih istiqamah saban tahun, mari kita ketahui kelebihan solat tarawih. KelebihanTarawih
Ertinya: “Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Muslim) Jadi, apabila kita telah ketahui kelebihan solat sunat tarawih ni, marilah sama2 kita saling mengingatkan apabila terlupa! Selamat beribadah kepada semua remaja & pemuda/pemudi muslim...

Friday, June 21, 2013

GOTONG ROYONG DALAM ISLAM

Amal Jama’ie Dalam Mendidik dan Berbakti Sempena Gotong Royong Perdana HALUAN Maha Suci Allah dan segalanya pujian hanya layak bagi Allah s.w.t. yang tidak henti-henti mencurahkan Rahmat dan Hidayah-Nya serta masih memberikan kita nikmat kehidupan dalam Islam dan Iman, berpeluang menghayati, memahami dan beramal Islam kerana Allah s.w.t. Selawat dan salam ke atas sumber teladan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya, sahabat, tabi’in, tabi’ at-tabi’in, serta seluruh umat Islam. Firman Allah s.w.t.: “Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. (At-Taubah: 105) Beramal merupakan suatu ibadah selagi bermatlamatkan kebaikan, kebajikan dan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan kemuliaan Islam. Tambah pula sekiranya yang mendorong setiap amalan atau kerja itu adalah pendorong yang kuat, gagah, istiqamah dan menjamin keiltiza¬man iaitu dorongan iman, yang datang dari lubuk hati yang yakin kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya pendorong ini lebih bersih, suci dan dirasai nikmatnya oleh orang-orang mukmin kerana hakikat imanlah yang mendorong orang mukmin melakukan perintah-perintah Allah s.w.t. Dari sudut syara’ tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah tanggungjawab ke atas fardi (individu) sepertimana kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab-tanggungjawab syariat yang lain. Ganjaran pahala diberikan kepada individu yang melaksanakannya. Firman Allah s.w.t.: “Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, Maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri”. (Al-Israa': 7). Namun seorang individu sahaja tidak mungkin dapat memikul tanggungjawab amal Islami bagi membangunkan cara hidup Islam yang syumul dan merupakan suatu tugas yang besar. Beramal secara bersama dan berkumpulan, tersusun dan bersistematik bagi mencapai suatu matlamat adalah lebih kuat dan berkat. Ini dinamakan sebagai amal jama’ie atau istilah umum yang biasa digunakan adalah gotong-royong. Manakala perlaksanakan amal atau kerja sememangnya lebih mudah dengan wujudnya institusi. Contohnya ibadah solat dapat dilaksanakan dengan wujudnya institusi masjid. Begitu juga dengan ibadah zakat dan haji yang mudah dilaksanakan dengan wujudnya institusi yang berkaitan. Bertepatan dengan ini, suatu model yang boleh kita ambil ialah aktiviti Gotong-Royong Perdana Haluan-KTD di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang mana KTD telah berperanan sebagai medan dan institusi bagi melaksanakan amal jama’ie yang telah dilakukan pada 7 November 2009, iaitu hari Sabtu. Perlaksanaan melalui institusi ini dapat dikawal dengan adanya ‘Lima Nilai Teras KTD’ yang berfungsi untuk merealisasikan objektif KTD dan dilaksanakan bersama oleh kakitangan KTD, pelajar dan ahli Haluan dari pelbagai negeri di Malaysia. Nilai teras yang dimaksudkan ialah: 1. Keimanan dan Ketakwaan Sebagai Tunjang 2. Akauntabiliti dan Integriti Dalam Melaksanakan Tugas 3. Sentiasa Proaktif Kreatif dan Inovatif Dalam Menghadapi Segala Cabaran dan Peluang 4. Kebersamaan dan Kesanggupan Berkorban 5. Keperihatinan dan Keutamaan Kepada Pelanggan Program amal jama’ie ini menjadi platform bagi NGO seperti Haluan Malaysia untuk mengambil peluang bekerja atau beramal bukan untuk meraih ganjaran atau upah di dunia, sebaliknya untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Ini juga bertujuan bagi mendidik seluruh kakitangan KTD, pelajar dan ahli Haluan bagi menjayakan misi dan visi KTD di samping merealisasikan moto KTD iaitu Profesional, Beretika dan Berketerampilan. Selain itu program ini menjadi medan bagi melahirkan individu yang dapat bekerjasama, lengkap-melengkapi, bertanggungjawab, amanah, bersungguh-sungguh dan menjalin ikatan silaturahim sesama muslim. Firman Allah s.w.t.: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah …” (Al-Maidah:2) Sebagai salah seorang entiti dalam masyarakat terutamanya muslim, amalan ini seharusnya dilakukan dan diteruskan bagi menyahut saranan Allah s.w.t. iaitu bertolong-menolong dalam mengerjakan kebaikan dan bukanlah kepada perkara kerosakan iaitu dosa dan pelanggaran. Selain itu, Allah s.w.t. berfirman yang berbunyi: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung”. (Ali Imran:104) Menghayati ayat Allah s.w.t. ini, maka melaksanakan amal jama’ie ini merupakan suatu peluang merebut untuk menjadi orang-orang yang beruntung untuk melaksanakan apa yang Allah s.w.t. suruh dan meninggalkan apa yang Allah s.w.t. larang secara bersama-sama (amal jama’ie). Maksud ma'ruf iaitu segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita daripada-Nya. Caranya adalah dengan berusaha memperbaiki diri, mengajak orang lain kepada kebaikan dan melakukannya secara kolektif iaitu berkumpulan seperti yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 104 tadi. Manakala kaedah perlaksanaan menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar secara kolektif yang mengikut sunnah ialah dengan mewujudkan institusi di samping melakukan secara berkelompok, kerjasama, bergilir-gilir dan melengkapi atau istilah yang biasa digunakan ialah gotong-royong. Di samping itu dalam melaksanakan tindakan dan amalan yang dirancang, maka mestilah dipastikan agar setiap perkara itu dibolehkan di sisi Syara’ (berlandaskan al-Quran dan sunnah). Seterusnya niat kita juga mestilah ikhlas kerana Allah s.w.t. semata-mata, supaya terhindar daripada sifat-sifat syirik atau riya’. Bagi memastikan keberkesanan ini, lakukanlah secara besungguh-sungguh iaitu berkerja keras, serius dan gigih. Kesungguhan itu akan lahir apabila kita memahami matlamat kita iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t. dalam setiap amalan dan pekerjan yang ingin kita lakukan. Pengurusan yang kemas, pembahagian tugas yang baik dan penentuan bidang tugas yang jelas sangat perlu dalam melaksanakan amal jama’ie ini. Di samping itu juga juga perlunya kepada ketua atau pemimpin dan pekerja di samping cara perhubungan yang berkesan dan efisien antara kepimpinan dan perajurit/pekerja dalam memastikan kelancaran suatu amal yang dilakukan bagi mencapai matlamat yang diimpikan. Al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna pernah menyatakan: “...Dan kekuatan yang ada merupakan satu jalan yang terjamin. Alangkah cantik dan indahnya kekuatan bergandingan bahu dengan kebenaran. Kekuatan tanpa kebenaran akan hancur dan begitu juga kebenaran tanpa kekuatan juga akan hancur.” Wallahua’lam. Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman Presiden HALUAN Malaysia

Friday, June 14, 2013

4 PERKARA YANG BAWA KEBAHAGIAN HIDUP !

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat unsur yang membawa kebahagian iaitu isteri solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik & kenderaan yang menyenangkan hati”… Manakala di dalam surah an-Nahl (80), Allah s.w.t. berfirman :”Allah menjadikan untuk rumah-rumah kamu sebagai tmpt yang menyenangkan”…

Thursday, June 13, 2013

ABDUR RAHMAN AUF !

Tokoh- Abdur Rahman Auf Seorang Jutawan Islam pada Zaman Nabi S.A.W Bismillahirrahmanirrahimi Wabihi Nastanu Billah Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas tahun gajah dan membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi dan memiliki karismatik yang berkualiti. Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga dan salah seorang dari 6 anggota mesyuarat untuk memilih khalifah selepas wafatnya Al Farouk rha. Beliau wafat pada tahun 31 hijriyyah dalam usia 73 tahun dan di maqamkan di Baqi' Sebelum Islam Menjauhi penyembahan berhala, maksiat dan mungkar. Persekitaran hidup dalam keluarga mulia dan bermaruah. Selepas Islam Orang yang kelapan memeluk agama Islam. Menyertai program perkaderan di Darul Arqam. Melakukan hijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan akhirnya ke Madinah Al Munawwarah. Menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah Jati Diri Yang Kental Abdul Rahman bin Auf telah dipersaudarakan oleh Rasulullah saw dengan Saad Ibnu Rabi'e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk memboloti harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran yang lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya. Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya dimanakah pasar dan beliau memulakan perniagaan dipasar tersebut dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih. Berdikari Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdur Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw. buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang. Sabda Rasulullah saw.: "Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." - Riwayat Bukhari Amanah Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah. Rasulullah saw. pernah menyebut: "Engkau adalah yang dipercaya(amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi." Taat Peribadinya yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasul saw dengan sabdanya: "Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya." Pengurusan Ekonomi Berorientasikan Kebajikan Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf Rha. tidak menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari manhaj Rabbani. Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada agama, perjuangan dan ummah. Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya: "Abdul Rahman bin Auf telah bersedeqah di zaman Rasulullah saw. setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah swt. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah swt. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya." Dermawan Sikap inilah (dermawan) yang dicerminkan oleh Al-Quranul Karim sebagai sikap orang–orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imraan, 92) Kikir dan bakhil adalah merupakan sifat tercela yang merosakkan hubungan damai dan harmoni sesama muslim. "(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian-kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Surah Muhammad 38) Sementara tamak haloba pula memusnahkan asas kebajikan malah mendorong permusuhan dan hasad dengki yang membantutkan perkembangan ekonomi ummah. Membelanjakan Harta Demi Keredaan Allah Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Anas rha. katanya: "Tatkala Aisyah rha. berada di dalam rumahnya, beliau telah mendengar satu suara di Madinah. Beliau bertanya "Apakah yang telah terjadi? Kaum muslimin menjawab: "Kafilah Abdul Rahman bin Auf terdiri dari 7 ratus unta." Maka bergemalah Madinah dengan teriakan suara tersebut. Aisyah rha. berkata aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Aku melihat Abdul Rahman masuk kedalam syurga dengan merangkak. Apabila kata–kata nabi tersebut sampai ke pengetahuan Abdul Rahman bin Auf lalu beliau berkata: Jika aku mampu, aku akan masuk syurga itu dalam keadaan berdiri. Lalu beliau menyerahkan kesemua unta tersebut di jalan Allah swt. Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitabnya Al Hilyah. Peristiwa ini jelas mengisyaratkan bahawa Abdul Rahman bin Auf sekalipun dilimpahi harta kekayaan dalam hidupnya tetapi tidak sampai ia menjadi hamba kepada harta, malah juga tidak mampu untuk melalaikan beliau daripada mengingati Allah swt. Situasi ini menunjukkan beliau menguasai harta bukan harta menguasai beliau. Kedudukkan seperti inilah yang menjadikan seorang usahawan benar – benar merdeka dan bebas dari belenggu fikrah maadiyyah. Bahaya Fikrah Maadiyaah (Kebendaan) Pengidap faham maadiyyah ini sangat merbahaya dan membawa virus yang sangat sukar untuk dirawat. Mereka yang terpengaruh dengan faham maadiyyah hanya memikirkan soal dunia, duit dan hidup semata – mata. Mereka tidak memikirkan bagaimana dosa, pahala, syurga, neraka dan akhirat. Ini menjadikan mereka petualang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan dan kemewahan dengan tidak memperduli bagaimana cara memperolehinya, samaada cara yang halal atau haram, baik atau buruk, hak atau bathil, adil atau zalim, benar atau bohong, amanah atau khianat. Apa yang lebih parah, golongan ini akan menjadi cinta dunia dan benci kepada mati. Jika seorang usahawan bersikap seperti ini bukan sahaja tidak mendapat berkat dan rahmat dalam projek atau perniagaan mereka, malah mereka dimurkai oleh Allah swt. "Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Surah Yunus 7–8) Renungi ungkapan ulama' sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani: Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji. Material (Kebendaan) Menurut Perspektif Islam Islam tidak melarang ummatnya mencari harta dan memiliki kekayaan, malah mengajar ummatnya mencari harta dengan kaedah yang betul. Lihat lah bagaimana sahabat karib Baginda Rasul saw. seperti Abdul Rahman bin Auf mencari harta dan memiliki kekayaan. "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya / untung (di dunia dan di akhirat)." (Surah Al Jumua'h: 10) Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan berfungsi sebagai alat bantu kekuatan. Justeru itu Islam memberi ruang selesa kepada ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi. Namun begitu, kebendaan yang diusahakan dan kekayaan yang dicita, bukan menjadi prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan, segalanya sebagai sarana untuk menjulang syiar Agama Allah swt. bukan sebaliknya, iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan. Kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan hina di mata dunia, pula dalam masa yang sama, ia tidak sampai membawa ummat Islam keperingkat ego dan bongkak. Usahawan Yang Takut Kepada Allah Dan Manangisi Kemewahan Dunia Dikeluarkan oleh Abu Nuaim didalam kitab Al-Hilyah daripada Naufal bin Ilyas Al–Hazili katanya: Abdul Rahman bin Auf rha. sering duduk bersama–sama dengan kami. Beliau adalah sebaik–baik orang apabila duduk bersama–sama dengan kami, suatu hari beliau telah meninggalkan kami dan tidak bersua dengan kami lalu kami pun masuk menemuinya di rumahnya. Beliau telah kembali ke rumahnya dan mandi, lalu kami menghidangkannya satu dulang roti dan daging. Apabila makanan tersebut dihidangkan dihadapannya, beliau pun menangis. Kami bertanya kepadanya, "Wahai bapa Muhammad, apakah yang menyebabkan kamu menangis?" Beliau menjawab: "Rasulullah saw. telah meninggal dunia dalam keadaan beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan yang terdiri dari roti gandum." Aku berpendapat, kita ketinggalan kebelakang dari apa yang lebih baik bagi kita. (Dikeluarkan oleh Tarmizi dan As Siraj daripada Naufal dan seumpama dengannya sebagaimana dalam Isobah.) Kezuhudan Abdul Rahman bin Auf rha. ini sangat menyerlah, bukan sahaja melalui peribadi dan aksinya bahkan sikap dan prinsip beliau. Inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang amat disenangi oleh penghuni dibumi dan juga penghuni dilangit. Beliau dijamin syurga oleh Baginda Rasul saw. Wallahualam... Sumber: http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/4524-abdul-rahman-auf-jutawan-yang-menangisi-kemewahan.html