Thursday, June 13, 2013

ABDUR RAHMAN AUF !

Tokoh- Abdur Rahman Auf Seorang Jutawan Islam pada Zaman Nabi S.A.W Bismillahirrahmanirrahimi Wabihi Nastanu Billah Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas tahun gajah dan membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi dan memiliki karismatik yang berkualiti. Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga dan salah seorang dari 6 anggota mesyuarat untuk memilih khalifah selepas wafatnya Al Farouk rha. Beliau wafat pada tahun 31 hijriyyah dalam usia 73 tahun dan di maqamkan di Baqi' Sebelum Islam Menjauhi penyembahan berhala, maksiat dan mungkar. Persekitaran hidup dalam keluarga mulia dan bermaruah. Selepas Islam Orang yang kelapan memeluk agama Islam. Menyertai program perkaderan di Darul Arqam. Melakukan hijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan akhirnya ke Madinah Al Munawwarah. Menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah Jati Diri Yang Kental Abdul Rahman bin Auf telah dipersaudarakan oleh Rasulullah saw dengan Saad Ibnu Rabi'e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk memboloti harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran yang lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya. Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya dimanakah pasar dan beliau memulakan perniagaan dipasar tersebut dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih. Berdikari Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdur Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw. buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang. Sabda Rasulullah saw.: "Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." - Riwayat Bukhari Amanah Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah. Rasulullah saw. pernah menyebut: "Engkau adalah yang dipercaya(amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi." Taat Peribadinya yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasul saw dengan sabdanya: "Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya." Pengurusan Ekonomi Berorientasikan Kebajikan Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf Rha. tidak menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari manhaj Rabbani. Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada agama, perjuangan dan ummah. Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya: "Abdul Rahman bin Auf telah bersedeqah di zaman Rasulullah saw. setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah swt. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah swt. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya." Dermawan Sikap inilah (dermawan) yang dicerminkan oleh Al-Quranul Karim sebagai sikap orang–orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imraan, 92) Kikir dan bakhil adalah merupakan sifat tercela yang merosakkan hubungan damai dan harmoni sesama muslim. "(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian-kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Surah Muhammad 38) Sementara tamak haloba pula memusnahkan asas kebajikan malah mendorong permusuhan dan hasad dengki yang membantutkan perkembangan ekonomi ummah. Membelanjakan Harta Demi Keredaan Allah Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Anas rha. katanya: "Tatkala Aisyah rha. berada di dalam rumahnya, beliau telah mendengar satu suara di Madinah. Beliau bertanya "Apakah yang telah terjadi? Kaum muslimin menjawab: "Kafilah Abdul Rahman bin Auf terdiri dari 7 ratus unta." Maka bergemalah Madinah dengan teriakan suara tersebut. Aisyah rha. berkata aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Aku melihat Abdul Rahman masuk kedalam syurga dengan merangkak. Apabila kata–kata nabi tersebut sampai ke pengetahuan Abdul Rahman bin Auf lalu beliau berkata: Jika aku mampu, aku akan masuk syurga itu dalam keadaan berdiri. Lalu beliau menyerahkan kesemua unta tersebut di jalan Allah swt. Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitabnya Al Hilyah. Peristiwa ini jelas mengisyaratkan bahawa Abdul Rahman bin Auf sekalipun dilimpahi harta kekayaan dalam hidupnya tetapi tidak sampai ia menjadi hamba kepada harta, malah juga tidak mampu untuk melalaikan beliau daripada mengingati Allah swt. Situasi ini menunjukkan beliau menguasai harta bukan harta menguasai beliau. Kedudukkan seperti inilah yang menjadikan seorang usahawan benar – benar merdeka dan bebas dari belenggu fikrah maadiyyah. Bahaya Fikrah Maadiyaah (Kebendaan) Pengidap faham maadiyyah ini sangat merbahaya dan membawa virus yang sangat sukar untuk dirawat. Mereka yang terpengaruh dengan faham maadiyyah hanya memikirkan soal dunia, duit dan hidup semata – mata. Mereka tidak memikirkan bagaimana dosa, pahala, syurga, neraka dan akhirat. Ini menjadikan mereka petualang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan dan kemewahan dengan tidak memperduli bagaimana cara memperolehinya, samaada cara yang halal atau haram, baik atau buruk, hak atau bathil, adil atau zalim, benar atau bohong, amanah atau khianat. Apa yang lebih parah, golongan ini akan menjadi cinta dunia dan benci kepada mati. Jika seorang usahawan bersikap seperti ini bukan sahaja tidak mendapat berkat dan rahmat dalam projek atau perniagaan mereka, malah mereka dimurkai oleh Allah swt. "Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Surah Yunus 7–8) Renungi ungkapan ulama' sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani: Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji. Material (Kebendaan) Menurut Perspektif Islam Islam tidak melarang ummatnya mencari harta dan memiliki kekayaan, malah mengajar ummatnya mencari harta dengan kaedah yang betul. Lihat lah bagaimana sahabat karib Baginda Rasul saw. seperti Abdul Rahman bin Auf mencari harta dan memiliki kekayaan. "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya / untung (di dunia dan di akhirat)." (Surah Al Jumua'h: 10) Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan berfungsi sebagai alat bantu kekuatan. Justeru itu Islam memberi ruang selesa kepada ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi. Namun begitu, kebendaan yang diusahakan dan kekayaan yang dicita, bukan menjadi prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan, segalanya sebagai sarana untuk menjulang syiar Agama Allah swt. bukan sebaliknya, iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan. Kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan hina di mata dunia, pula dalam masa yang sama, ia tidak sampai membawa ummat Islam keperingkat ego dan bongkak. Usahawan Yang Takut Kepada Allah Dan Manangisi Kemewahan Dunia Dikeluarkan oleh Abu Nuaim didalam kitab Al-Hilyah daripada Naufal bin Ilyas Al–Hazili katanya: Abdul Rahman bin Auf rha. sering duduk bersama–sama dengan kami. Beliau adalah sebaik–baik orang apabila duduk bersama–sama dengan kami, suatu hari beliau telah meninggalkan kami dan tidak bersua dengan kami lalu kami pun masuk menemuinya di rumahnya. Beliau telah kembali ke rumahnya dan mandi, lalu kami menghidangkannya satu dulang roti dan daging. Apabila makanan tersebut dihidangkan dihadapannya, beliau pun menangis. Kami bertanya kepadanya, "Wahai bapa Muhammad, apakah yang menyebabkan kamu menangis?" Beliau menjawab: "Rasulullah saw. telah meninggal dunia dalam keadaan beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan yang terdiri dari roti gandum." Aku berpendapat, kita ketinggalan kebelakang dari apa yang lebih baik bagi kita. (Dikeluarkan oleh Tarmizi dan As Siraj daripada Naufal dan seumpama dengannya sebagaimana dalam Isobah.) Kezuhudan Abdul Rahman bin Auf rha. ini sangat menyerlah, bukan sahaja melalui peribadi dan aksinya bahkan sikap dan prinsip beliau. Inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang amat disenangi oleh penghuni dibumi dan juga penghuni dilangit. Beliau dijamin syurga oleh Baginda Rasul saw. Wallahualam... Sumber: http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/4524-abdul-rahman-auf-jutawan-yang-menangisi-kemewahan.html

Tuesday, June 11, 2013

TOKOH ISLAM : ABU HURAIRAH R.A.

KISAH ABU HURAIRAH R.A. MENJAGA GUDANG ZAKAT. Dikisahkan pada satu ketika Abu Hurairah r.a. diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menjaga gudang hasil zakat. Pada suatu malam Abu Hurairah r.a. melihat seseorang sedang mengintai hendak mencuri, lalu ditangkapnya. Orang itu pun hendak dibawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. tetapi pencuri itu memohon minta dikasihani seraya menyatakan bahawa dia mencuri untuk memebantu keluarganya yang kelaparan. Abu Hurairah r.a. merasa kasihan lalu melepaskan pencuri itu dengan pesan agar tidak mengulangi perbuatannya lagi. Keesokkan harinya perkara tersebut dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. tersenyum lalu bersabda bahawa pencuri itu pasti akan kembali. Ternyata keesokkan malamnya pencuri itu datang lagi. Sekali lagi Abu Hurairah r.a. menangkap pencuri itu lalu hendak dibawanya kehadapan Rasulullah S.A.W. Sekali lagi, pencuri itu memohon agar dibebaskan sehingga Abu Hurairah r.a. merasa kasihan lalu melepaskannya sekali lagi. Keesokkan harinya, dia melaporkan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W. yang mengulangi sabdanya bahawa pencuri itu pasti akan kembali. Setelah pencuri itu ditangkap sekali lagi pada malam berikutnya, Abu Hurairah r.a. mengancam akan membawanya kehadapan Rasulullah S.A.W. Pencuri itu meminta belas kasihan agar dibebaskan sekali lagi. Melihat Abu Hurairah r.a. enggan melepaskannya, pencuri itu menyatakan dia akan mengajar sesuatu yang baik jika ia di bebaskan. Pencuri itu berkata bahwa jika seseorang membaca ayat Kursi sebelum tidur, syaitan tidak akan menggangguinya. Abu Hurairah r.a. merasa tersentuh mendengarkan ajaran pencuri itu lalu melepaskannya pergi. Keesokkan harinya dia melaporkan peristiwa tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. bersabda, pencuri yang ditemuinya itu adalah pembohong besar, tetapi apa yang diajarkan kepada Abu Hurairah r.a. itu adalah benar. Sebenarnya pencuri itu adalah syaitan yang dilaknat. Walaupun Abu Hurairah r.a. merupakan seorang yang miskin pada mulanya, ia telah dipinang oleh salah seorang majikannya yang kaya raya untuk putrinya, Bisrah binti Gazwan. Ini menunjukkan betapa Islam telah mengubah pandangan seseorang dari membezakan kelas kepada menyanjung keimanan. Abu Hurairah r.a. dipandang mulia kerana alimanya dan kesolihannya. Perilaku islami telah memuliakannya, lebih dari kemuliaan pada masa jahiliah yang memandang kebangsawanan dan kekayaan sebagai ukuran kemuliaan. Sejak menikah, Abu Hurairah r.a. membahagi malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ulang hadis. Ia dan keluarganya tetap hidup sederhana walaupun telah menjadi orang berada. Abu Hurairah r.a. suka bersedekah, menjamu tamu, bahkan memberi sedekah rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya. Rasulullah S.A.W. pernah mengutuskan Abu Hurairah r.a. berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami r.a. Dia juga pernah diutus bersama Quddamah r.a. untuk mengutip jizyah di Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi. Mungkin disebabkan oleh kepercayaan Rasulullah itu, Abu Hurairah r.a. diangkat menjadi gubnor Bahrain ketika Umar r.a. menjadi Amirul Mukminin. Tapi pada 23 Hijrah, Umar r.a. memecatnya kerana Abu Hurairah r.a. dituduh menyimpan wang yang banyak sehingga 10,000 dinar. Pada satu mesyuarat, Abu Hurairah r.a. berhasil membuktikan bahawa harta itu diperolehnya dari menternak kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar r.a. menerima penjelasan itu dan memaafkannya. Lalu dia diminta menerima jabatan Gubnor kembali, tapi Abu Hurairah r.a. menolak. Penolakan itu diiringi lima alasan. "Aku takut berkata tanpa pengetahuan; aku takut memutuskan perkara bertentangan dengan hukum (agama); aku tidak mahu disebat; aku tak mahu harta benda hasil pencarianku disita; dan aku takut nama baikku tercemar," katanya. Dia memilih untuk tinggal di Madinah, menjadi warga biasa yang memperlihatkan kesetiaan kepada Umar, dan para pemimpin sesudahnya. Khalifah Umar ibn Khattab r.a. pula pernah melarang Abu Hurairah r.a. menyampaikan hadis dan hanya dibenarkan menyampaikan ayat Al-Quran. Ini disebabkan tersebar kabar angin bahawa Abu Hurairah r.a. banyak memetik hadis palsu. Larangan khalifah baru dibatalkan setelah Abu Hurairah r.a. mengutarakan hadis mengenai bahaya hadis palsu. Hadis itu berbunyi, "Barangsiapa yang berdusta padaku (Nabi S.A.W.) secara sengaja, hendaklah mempersiapkan diri duduk dalam api neraka." Hadis ini diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ad-Darimi, dan Ahmad ibn Hanbal. Ketika kediaman Amirul Mukminin Ustman ibn Affan r.a. dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-fitnatul kubra (fitnah/bencana besar), Abu Hurairah r.a. bersama 700 orang Muhajirin dan Anshar tampil mengawal rumah tersebut, dalam keadaan siap sedia untuk bertempur, Khalifah Ustman ibn Affan r.a. melarang pengikut setianya itu memerangi kaum pemberontak. Pada masa Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib r.a. , Abu Hurairah r.a. menolak tawaran menjadi gubnor Madinah. Ketika terjadi pertemuan antara Khalifah Ali dan lawannya, Muawiyah ibn Abi Sufyan, ia bersikap tidak memihak dan menghindari fitnah. Setelah Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah r.a. dilantik menjadi gubnor Madinah setelah diusulkan oleh Marwan ibn Hakam. Di Kota Penuh Cahaya (Al-Madinatul Munawwarah). Beliau telah mengembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Abu Hurairah r.a. meninggalkan sebanyak 5,374 hadis. Hadis Abu Hurairah r.a. yang disepakati Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis, dan oleh Muslim sendiri 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya. Terdapat pula golongan yang mempertikaikan tentang kesahihan hadis-hadis yang di sampaikan oleh Abu Hurairah r.a. seperti dari golongan orientalis barat, Ignaz Goldizihar yang telah membuat kritikan terhadap hadis dan para perawinya termasuk Abu Hurairah. Tuduhan beliau telah mempengaruhi beberapa penulis Islam seperti Ahmad Amin dan Mahmud Abu Rayyuh untuk mengkritik kedudukan Abu Hurairah sebagai perawi hadis. Tuduhan-tuduhan ini telah disanggah oleh Mustafa al Sibai dalam al Sunnah wa Makanatuha halaman 273-283. Selain dari golongan ini terdapat juga kritikan kuat dari golongan Syiah. Ini mungkin disebabkan Abu Hurairah r.a. merupakan pendukung Ustman ibn Affan r.a. dan juga pernah menjadi pegawai dinasti Umayah. Penolakannya menyandang jabatan gubernur ketika ditawarkan oleh Ali r.a. dan tidak adanya hadis yang berisi pujian atau pengistimewaan kepada Ali dan keluarganya mungkin merupakan sebab-sebab lain Abu Hurairah dikritik oleh kaum Syiah. Dipetik dari buku Mengenal Shahabiah Nabi shallallâhu 'alaihi wa sallam dengan sedikit perubahan, penerbit Pustaka AT-TIBYAN)

Thursday, June 6, 2013

GOTONG-ROYONG ASSALAM BERSAMA PELAJAR SMKBS 22 JUN !

Insyallah Pengurusan Masjid Assalam bersetuju mengadakan gotong-royong membersih dan mencatikan masjid AsSalam Bukit Sentosa bersama pelajar-pelajar Muslim Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa pada 22/6/2013 bemula 8.00pagi. Kaum pemuda dan pemudi dialu-alukan hadir sambil beraktiviti ,beribadah dan insyallah ada ganjaran dari Allah.

Monday, May 27, 2013

120 REMAJA DALAM SMART SOLAT !

Alhamdulillah seramai 120 orang peserta dari sekitar Masjid Assalam Bkt Sentosa telah mendaftar bagi menyertai Program Bestari Smart Solat yang dianjurkan bersama JAIS dan Masjid Assalam pada 29Mei-30Mei ini.Penceramah utama akan disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) dan dibantu oleh fasilatator dari Masjid Assalam sendiri.Semoga anak-anak antara 9 hingga 15 tahun ini akan dapat menafaat dari program yang murni ini insyallah.

Wednesday, November 28, 2012

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI 9 DISEMBER !

Sila daftar di pejabata Masjid Assalam 0360217998