Monday, September 5, 2011

CIRI REMAJA CEMERLANG

Remaja merupakan bakal pemimpin masa depan yang memikul amanah dan tanggungjawab Meneruskan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kita memerlukan golongan remaja yang cemerlang dan peribadi Islam yang mantap bagi membawa hala tuju negara menjadi sebuah negara yang lebih maju dan berjaya.

Antara ciri remaja cemerlang adalah seperti:-

  • memiliki ilmu pengetahuan dan ilmu agama Islam serta mengamalkannya
  • mempunyai tahap disiplin yang kukuh
  • menjadikan budi bahasa sebagai amalan hidup
  • memiliki sahsiah dan ketrampilan diri yang mapan
  • merupakan remaja yang memiliki nilai tambah dan modal insan kelas pertama
  • sihat fizikal dan mental
  • mengamalkan toleransi

Tuesday, July 12, 2011

REMAJA HARUS KEKAL JATI DIRI

‘Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.’

PERNAHKAH anda memandang wajah di cermin, kemudian berasa rendah diri kerana merasakan wajah tidak secantik rakan lain. Hidung tidak semancung artis pujaan. Kulit tidak secerah gadis jiran sebelah rumah?

Pernahkah anda berasa ketinggalan dari sudut fesyen rambut, cara penampilan dan berpakaian serta cara bercakap dan berjalan berbanding teman sebaya?

Pernahkah anda tersinggung kerana melihat teman karib memiliki teman lelaki. Pernahkah anda merasakan diri serba kekurangan kerana tiada buah hati?

Pernahkah anda berasa tidak pergi ke disko atau tidak mengambil pil khayal untuk mengubat kerunsingan itu sesuatu yang ketinggalan zaman?

Semua yang disenaraikan di atas sebenarnya bukan satu senario luar biasa. Ia perkara biasa di kalangan remaja masa kini.

Kajian Prof Dr Azimi Hamzah dari Universiti Putra Malaysia berkaitan remaja dan belia menunjukkan bahawa 68 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun menyukai pakaian trendy berbanding 16.1 peratus yang menggemari pakaian tradisional.

Kajian juga menunjukkan 43.1 peratus menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38 peratus menjadikan ibu bapa sebagai rujukan. Sementara, 14.8 peratus menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.

Kajian juga menunjukkan 31.7 peratus adalah perokok dan 13.6 peratus ketagih alkohol. Sementara, 25.2 peratus menganggap agama tidak penting. Kajian ini bukan saja petanda kepada keadaan kecelaruan remaja hari ini, malahan kecenderungan untuk terpengaruh dengan budaya bercanggah dengan agama melanda dengan hebat remaja kita. Malah, ramai remaja juga menganggap agama tidak penting.

Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.

Dalam bukunya La Tahzan atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan bahasa Melayu Jangan Bersedih – Don’t Be Sad, ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni antara lain menulis:


“Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya, dan suasananya sendiri, kebanyakan akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah, mengada-ngada, berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

“Ketahuilah bahawa diri anda adalah sesuatu yang lain daripada lain – unik. Tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda. Tidak akan ada orang yang akan sama dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan orang lain. Oleh itu, jangan memaksakan diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetap berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri.”

Sebagai umat mulia, remaja Muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk ikut dalam kemajuan zaman, sebab Islam amat menggalakkan umatnya berdaya maju dan menguasai teknologi pada zamannya. Namun, kita harus memiliki panduan dalam keghairahan untuk mengikut trend semasa sama ada dari sudut pakaian, perbuatan, cara hidup dan sebagainya.

Banyak panduan daripada Allah dan Rasulullah dalam persoalan mengekalkan jati diri sebagai seorang remaja Muslim.

Antaranya dari sudut pakaian. Islam menggariskan agar kita memastikan pakaian menutup aurat dan memenuhi tuntutan agama. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, maka Rasulullah berpaling seraya bersabda bermaksud: “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita yang sudah baligh, maka tidak boleh dilihat tubuhnya kecuali ini dan ini dengan menunjuk wajah dan telapak tangan (sampai pergelangan).” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah berfirman bermaksud : “… dan wanita jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa nampak diperhiasan itu.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, Rasulullah mengingatkan supaya tidak cenderung untuk menurut jejak langkah dan budaya orang Yahudi dan Nasrani dari segenap gaya hidup mereka. Sabda Baginda bermaksud: “Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga semua ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada remaja untuk berusaha mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim dalam arus perubahan dunia yang kadang kala melalai dan merosakkan.

-Oleh Roha Hasan-

Friday, April 15, 2011

PEMUDA & REMAJA MUSLIM


~Tanggungjawab Sebagai Remaja Muslim~

Insya Allah peneraju masa depan Islam pada masa akan datang
Berbicara tentang TANGGUNGJAWAB adalah penting bagi setiap individu kerana dengan mengenal TANGGUNGJAWAB dapat mematangkan diri kita.


Tanggungjawab juga adalah AMANAH.

Sebagai satu contoh: cuba kita mengangkat tangan kita ke atas selama berapa minit mungkin...
kita pasti berasa amat letih walaupun kita hanya mengangkat tangan tanpa apa-apa beban
Begitulah juga seperti Amanah(Tanggungjawab)... kita tidak dapat melihatnya namun adalah amat berat untuk memikulnya.

~Sedangkan telah diceritakan bahawa gunung sekalipun yang gah kita melihatnya tidak sanggup bagi nya untuk memikul amanah.
~Oleh yang demikian, kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini perlu sedar bahawa kita memikul tanggungjawab yang besar di dunia yang fana ini.

Kita adalah khalifah di bumi Allah ini




Tanggungjawab Sebagai Remaja Muslim


  • Masa remaja bukan untuk berseronok semata-mata, tetapi mesti diisi dengan ilmu pengetahuan dan penghayatan tentang agama kita, agama Islam
  • Tidak mudah terpedaya dengan unsur negatif
  • Jangan menghabiskan masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan
  • Sentiasalah menghormati ibu bapa
~Pertama, kita perlu sedar bahawa kita hanya sementara di dunia. Oleh itu, kita perlulah mencari seberapa banyak ilmu sebagai bekal untuk hari tua kelak(insyaAllah kalau panjang umur sampailah usia tua). Seterusnya, ilmu yang diperolehi perlulah diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan dikongsi supaya ilmu yang ada tidak dipersiakan



~Seperti yang dapat kita lihat sekarang, banyak perkara yang berlaku sekarang sentiasa mengandungi unsur negatif. Tidak perlu diberikan contoh kerana kita sendiri tahu mengenai perkara ini. Kita sendiri pun tidak tahu yang kita sendiri mungkin terpengaruh dengan unsur negatif



~CINTA? Apakah cinta? Kita sering tertanya-tanya apakah makna cinta ini sebenarnya. Namun yang dapat menyelesaikan persoalan ini adalah diri kita sendiri. Tidak perlu mencari orang lain untuk menerangkannya kerana kita sendiri merasainya. Paling penting adalah CINTA pada ALLAH dan RASULULLAH. Sesungguhnya itu lah cinta yang hakiki.


~Ibu dan Ayah adalah insan terpenting dalam kehidupan kita. Sesungguhnya kita perlu ingat yang Redha Allah terletak pada Redha Ibu dan Ayah kita. Doakanlah kebahagian mereka. Pengorbanan mereka takkan mampu kita balas walaupun dengan apa sekalipun. Janganlah sekipun kita menderhakai mereka dan membuat perkara yang memburukkan nama mereka. Ya Allah, kasihilah ibu dan ayah ku seperti mana mereka mengasihi semenjak aq kecil.

Thursday, March 17, 2011

Alhamdulillah Rakyat Malaysia Selamat Dari Yaman


13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEPANG: Kumpulan pertama seramai 10 rakyat Malaysia termasuk dua wanita mengandung, seorang daripadanya sudah cukup bulan untuk melahirkan, tiba dari Yaman malam Jumaat, di bawah langkah kerajaan memindahkan warga Malaysia keluar dari negara yang sedang bergolak itu.

Mereka tiba dengan pesawat Qatar Airways pada jam 9.01 malam Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Rata-rata mereka kelihatan sayu apabila disambut ahli keluarga masing-masing, manakala yang tidak disambut ahli keluarga pula disediakan pengangkutan dan penginapan sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Pelajar Universiti Al-Iman, Balqis Sabarudin, 32, ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak membawa pulang rakyat Malaysia di sana lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Walaupun kediaman mereka agak jauh dari tempat rusuhan dan keadaan juga masih agak terkawal berbanding Mesir, beliau yang kini mengandung sembilan bulan tetap bimbang akan keadaan mereka sekeluarga termasuk suami dan anak berusia 16 bulan.

"Saya hanya menunggu masa untuk melahirkan sedangkan keadaan di hospital agak kelam-kabut merawat mereka yang cedera dalam rusuhan," katanya.

Pelajar tahun tiga Universiti Sains dan Teknologi Yaman, Mohd Shahril Abdul Samad, 23, berkata beliau lebih risaukan keadaan isterinya yang mengandung empat bulan dalam keadaan kacau-bilau itu.

"Kediaman kami hanya 200 meter dari kawasan tunjuk perasaan itu, kadangkala kami dapat dengar bunyi tembakan.

"Mujurlah kerajaan memindahkan kami ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Yaman yang lebih selamat empat hari sebelum ini, dan kemudian menanggung kami pulang ke Malaysia," katanya.

mStar/-