Monday, September 10, 2012

ORANG MUDA DAN 'MATANG'

Matang. Perkataan ini sentiasa bermain di dalam fikiran para remaja, pemuda dan pemudi. Antara sebab mengapa perkataan ‘matang’ itu popular, dukacitanya, bukanlah kerana tanggungjawab yang bakal dipikul oleh seorang manusia di masa hadapan biasanya. Tetapi biasanya, perkataan matang itu popular di kalangan remaja adalah kerana orang selalu berkata: “Tak matang lagi, tak boleh kahwin.” Maka semata-mata untuk berkahwin, maka remaja mula keluar mencari apakah itu ‘kematangan’. Tujuan? Tujuannya untuk berkahwin. Namun hakikatnya matang itu lebih dari sekadar untuk berkahwin. Kerana tugas menjadi seorang pemuda dan pemudi adalah besar untuk masa hadapan perjuangan Islam, pembangunan negara dan masyarakat. Kematangan diperlukan kerana hanya orang-orang yang matang akan membuat keputusan yang baik, dan akan melorongkan kehidupannya pada kehidupan yang baik, sekaligus mengurangkan peratus untuk kerosakan berlaku di dalam masyarakat. Remaja sebagai ‘darah baru’ di dalam masyarakat perlu menjadi matang bagi menggantikan kepimpinan negara hari ini, bagi mewarnakan masyarakat hari ini dengan warna-warna yang indah. Justeru, bagi mereka yang menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai pemuda dan pemudi, kita kembali bertanya: “Bagaimana mahu mendapatkan kematangan itu?” Langkah 1: Banyakkan Membaca Bahan-bahan Yang Berat Antara faktor kematangan adalah membaca. Remaja yang kurang membaca akan menjadi amat sempit pemikirannya, dan tidak terbuka. Sekaligus ilmunya tidak bertambah, dan dia tidak mengalami peningkatan pada cara berfikirnya. Bahan bacaan juga memainkan peranan. Banyak membaca sahaja belum tentu ada gunanya. Justeru, remaja, pemuda dan pemudi perlu bijak mengisi masa dengan bahan bacaan yang berat. Tidak semestinya bahan bacaan yang berat ini adalah buku yang tebal. Tetapi bahan bacaan yang berat ini adalah yang mempunyai cara berfikir yang lebih mendalam, membahaskan sesuatu yang lebih besar, dan menyentuh akan konsep-konsep serta teori-teori tertentu. Bahan-bahan bacaan seperti cara pengurusan wang, pengurusan masa, cara komunikasi yang berkesan, sikap-sikap yang memberikan kekuatan, itu semua adalah bahan bacaan yang perlu disantuni bagi mengejar kematangan. Dan semestinya, antara bahan bacaan wajib bagi membentuk pemikiran seorang mukmin dan muslim yang baik adalah tafsir Al-Quran yang dikarang oleh ulama’-ulama’ mukhtabar, tanpa meninggalkan bahan-bahan bacaan yang lain. Kita tidak membaca untuk terus percaya. Kita membaca untuk mengumpul ilmu dan membuat perbandingan. Kita membaca untuk melihat cara berfikir, bagaimana manusia memandang sesebuah perkara. Kita membaca untuk mempertingkatkan kualiti diri. Kita membaca untuk lebih memahami. Namun, aktiviti membaca bahan yang agak berat ini telah ditinggalkan oleh kebanyakan remaja hari ini. Mereka hanya sukakan hiburan, membaca novel-novel cinta, menonton drama dan filem. Mereka sukakan sesuatu yang boleh membuatkan mereka tertawa, dan rasa seronok semata-mata. Langkah 2: Meluangkan Masa Bersama Orang Yang Lebih Tua. Antara lagi perkara yang boleh meningkatkan proses kematangan adalah meluangkan masa untuk duduk bersama orang yang lebih tua. Tidak semestinya kerana orang yang lebih tua itu adalah orang yang lebih berilmu. Tetapi adalah kerana orang yang lebih tua itu telah hidup lebih lama daripada kita. Duduk bersama mereka adalah untuk mengutip hikmah-hikmah yang ada pada mereka. Mereka telah terlebih dahulu melalui kehidupan, dan pastinya di dalam kehidupan mereka wujudnya cabaran dan halangan yang pernah dilalui. Di situlah kita anak-anak muda sepatutnya tidak segan merapati mereka dan bertanya akan pengalaman-pengalaman mereka. Bukan untuk kita terima bulat-bulat, namun adalah untuk kita melihat dan mengambil pengajaran dari apa yang dikongsikan. Apatah lagi jika orang yang lebih tua itu jelas lebih tinggi ilmunya. Jelas lebih tinggi kesungguhannya dalam perjuangan Islam. Jelas punya fikrah yang mantap. Jelas merupakan seorang yang soleh. Itu lebih membuatkan kita perlu untuk meluangkan banyak masa dengan mereka. Dengan ini, kesilapan yang pernah mereka lakukan ketika mereka muda tidak kita ulangi. Jika kita buat kesilapan, kita hanya akan membuat kesilapan yang baru. Dengan itu, graf ummat ini akan meningkat naik. Bukannya naik dan kemudian turun, naik dan kemudian turun. Langkah 3: Mengembara Ke Pelbagai Tempat. Mengembara. Tetapi mengembara dengan mata yang terbuka. Keluar dari tempat kita untuk beberapa ketika, bagi melihat suasana yang lain dari apa yang kita hidup selama ini. Keluarlah ke Eropah dan melihat gaya kehidupan mereka. Carilah pendapat-pendapat Ulama’ Islam di sana, dan berfikirlah mengapa mereka mengeluarkan pendapat sedemikian berdasarkan kehidupan masyarakat di sana. Pergilah ke Timur Tengah, dan lihatlah gaya kehidupan manusia di sana. Kemudian berfikirlah mengapa mereka bersikap sedemikian rupa. Berjalanlah lebih jauh, melihat kerajaan demi kerajaan, menyantuni ahli-ahli masyarakatnya, dan belajar daripada kehidupan. Kemudian kaitkanlah dengan kefahaman yang wujud di dalam diri kita. Pada ilmu-ilmu yang kita dapat di Universiti, pada pemikiran-pemikiran yang telah kita santuni pada buku-buku yang telah kita bacai, pada konsep dan teori yang pernah kita perhati. Di situ kematangan kita akan meningkat. Kita akan berfikir dengan fikiran yang lebih luas. Kita akan melihat dengan pandangan yang lebih sederhana. Sekaligus menjadikan kita matang lebih dari usia kita. Penutup: Kita Perlukan Remaja, Pemuda dan Pemudi Yang Matang Lebih Dari Usianya. Umur bukan penentu kematangan. Usaha dan cara berfikir adalah apa yang menentukan kematangan kita. Kita perlu berusaha membangkitkan kematangan ini dan sentiasa mempertingkatkan kualiti kematangan kita. Walaupun umur kita baru menjengah 15 tahun, kita sepatutnya sudah mula merancang bagaimana mahu mempertingkatkan kematangan kita. Hilangnya remaja, pemuda dan pemudi yang matang akan menyebabkan kelahiran ramai manusia-manusia yang tidak sensitif dan tidak peka. Melahirkan manusia-manusia yang bacul dan jahil. Melahirkan manusia-manusia yang tidak bersemangat, tidak peduli, dan yang pastinya tidak boleh memimpin, sekaligus membawa kita kepada kerosakan di masa hadapan. Remaja, pemuda dan pemudi mempunyai kekuatan, masa, tenaga. Satu perkara yang ditakuti oleh musuh-musuh Allah SWT adalah apabila remaja-remaja mula sedar akan keadaan dirinya dan bergerak mencapai kematangan buat agamanya. Kerana itu mereka giat menghancurkan remaja yang hiburan dan perkara-perkara yang ringan. Kerana mereka ingin menghalang sebuah kebangkitan. Hilal Asyraf Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.