Wednesday, April 9, 2014

IMAM MUDA IMAM II MASJID ASSALAM TELAH KEMBALI KERAHMATULLAH !

H
usnul khootimah. "Betulkan sof. Penuhi sof di hadapan. Rapat2kan sof. Rapatkan bahu tuan2 agar Allah rapatkan siratulrahim antara kita. Solatlah seumpama ini solat yang terakhir buatmu." Menjadi rutin ungkapan Ustaz Haqim, Imam-2 Masjid as-Salam setiap kali mengimami solat fardu. Satu lagi yang menjadi amalannya ialah tidak tinggal membaca ayat Qursi setiap kali bersama zikir selepas solat. Ustaz Haqim juga tidak banyak bicara dan sentiasa murah dengan senyuman. Nama penuh beliau ialah Muhammad Haqimuinuddin Bin Hamzah. Perwatakannya lembut dan disenangi ramai. Bila berdepan dengan tohmahan atau tuduhan orang yang kritikal terhadapnya, dia masih mampu tersenyum. Bacaannya sangat baik terutamanya tika membimbing jemaah dalam bacaan surah Yaasin atau surah al-Mulk beramai-ramai. Begitu juga tika membimbing kuliah maghrib membaca Kitab perihal alam barzakh, Ustaz menutur kata dengan teratur, lembut dan straight forward hingga tersentuh hati2 yang menjiwainya. Di surau al-Mutaqqin kuliah Ustaz Haqim yang terakhir ialah berkenaan pengurusan jenazah. Semalam Allah menjemput Ustaz Haqim pulang ke rahmtullah pada pukul 12 tgh di usia 28 tahun, meninggalkan seorang isteri, dua orang anak kecil, ribuan anak murid, saudara mara, sahabat dan taulan. Perginya pada usia yang masih muda, begitulah kalau sudah dikasihi Allah. Arwah terlantar koma selama 9 hari di ICU Hospital Sg Buloh setelah ditimpa kemalangan jalanraya tika dalam perjalananan ke Masjid as-Salam untuk solat fardu zohor. Arwah mengimami solat fardu subuh di masjid pada paginya. Antara tanda kematian yang husnul-khootimah ialah pertama bilangan yg ramai untuk solat jenazahnya, kedua bila percakapan yg baik2 oleh orang ramai perihal arwah. Kedua-dua ciri ini ada pada arwah Ustaz Haqim. Ribuan orang mula memenuhi masjid as-Salam selepas zohor sejak berita tersebar tentang kepulangan arwah ke rahmatullah. Arwah di mandi dan dikafankan di Hospital Sg Buloh oleh gurunya Ustaz Hazri Hashim. Jenazah tiba di masjid sekitar pukul 5:30 ptg. Saya kira ada 18 sof muslimin dan 3 sof muslimah yang mensolatkan jenazah. Kemudian para jemaah beratur untuk menatap wajah Ustaz Haqim buat kali terakhir di sebalik lilitan kafannya. Perjalanan 5 km van jenazah ke tanah perkuburan berlepas pada pukul 6:23ptg. Arwah selamat di semadikan di tanah perkuburan Bukit Sentosa dengan penutup bacaan talqin dan doa oleh Ustaz Wan Mohd Shamsuddin, Ustaz Hazri Hashim dan Ustaz Abd Aziz Lutfi menjelang azan maghrib berkumandang. Allah telah muliakan Ustaz Haqim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya dan memberi kehidupan yang selesa buatnya sepanjang berada di alam barzakh itu. Seorang lagi ulama' muda ahli syurga yang sukar di cari ganti selamat pergi menemui Illahi. Kita yang masih hidup ini bagaimana? Ya Allah berkati sisa usia kami ini dan hidupkan kami dalam iman dan matikan kami dalam iman dengan kematian yang husnul khootimah.

Sunday, April 6, 2014

CINTA MENUNDUKKAN HATI

Cinta Menundukkan Hati Siapa kita yang melayakkan untuk dapat kasih Allah? Kita manusia yang cukup hina dengan maksiat dan dosa. Bila Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW perihal kenapa Rasulullah SAW begitu bersungguh-sungguh melakukan ibadah? Maka Rasulullah SAW menjawab salahkah aku menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah? Siapa kita? Orang yang tidak pernah tambah ibadahnya. Orang yang jarang benar bangun untuk solat malam. Orang yang liat benar untuk puasa melainkan puasa Ramadan. Berapa ramai orang walaupun sudah tua yang masih tidak kenal masjid hingga ke saat ini? Masih sibuk dengan proposal dan kertas kerja mengejar projek itu dan ini. Kita orang yang banyak dosa. Tanya diri. Berapa kali kita beristighfar hari ini? Tahukah kita rukun2 dan syarat2 taubat? Tahukah kita rukun2 solat? Tahukah kita syarat2 sah pada setiap rukun solat itu? Begitulah taubat, punyai syarat2 pada setiap rukunnya. Asalnya kita kena usha, ikhtiar dan mujahadah supaya dapat masuk kategori yang layak mendapat kasih sayang Allah. Tapi lemah benar kita ini, sentiasa gugur oleh panahan nafsu dan imarah apatah lagi godaan syaitan. Langkah berikutnya ialah dengan menumpang barokah orang2 soleh. Ibarat menempel dengan orang2 soleh. Kerana kita boleh muhasabah dan nilai kualiti amal ibadah kita yang lemah itu. Mana pergi hati kita tika solat itu? Kita mohon pada Allah sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari dalam 17 rakaat solat2 fardhu kita, "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." Siapa orang2 yang telah Allah bagi nikmat ini? Itulah para solihin, shuhada dan para ambiya yang begitu kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW melebihi kasih kepada makhluk yang lain. Kita minta untuk menumpang mereka ini di jalan yang lurus menuju redha Allah. Apakah mampu menjadi seperti seorang perempuan Ansar (Madinah) yang begitu kasih kepada Rasulullah SAW hingga tidak ambil peduli kematian suaminya, bapa, anak2 dan adik beradiknya yang gugur syahid di medan perang kerana begitu risau perihal nasib yang menimpa Rasulullah SAW. Baginya semua musibah yang Allah uji itu kecil sahaja kecuali musibah yang menimpa Rasulullah SAW. Maka selayaknya perempuan Ansar ini di kasihi Allah. “Jika Allah SWT mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah SWT mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya akan menanamkan bagi mereka Dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam:96) Begitulah besarnya cinta Allah. Namun bagaimana caranya untuk kita meraih cinta Allah, cinta yang hakiki nan abadi? terdapat tiga alamat besar tanda cinta seseorang kepada Allah iaitu: Banyak mengingati pada yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya. Apabila seseorang itu mencintai sesuatu atau seseorang, maka sudah tentu beliau kan sentiasa mengingatinya di hati atau menyebutnya dengan lidah. Oleh yang demikian, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa mengingati-Nya dalam apa keadaan sekalipun sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Al-Anfaal:45) Tunduk pada perintah orang yang dicintainya dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Firman Allah : “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (A’li Imran:31) Mengutamakan Allah dan Rasul lebih dari keutamaan yang lain, Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).(at-Taubah:24) Maka dapatlah kita simpulkan bahawa cintakan Allah dan Rasulullah SAW itu bukan hanya dengan lafaz semata-mata. Cinta itu hendaklah diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan sehingga seorang yang benar-benar cintakan Allah dan Rasul menjadi insan taat dalam kehidupan bersyariat. Bahkan mereka tidak senang dengan setiap pelanggaran terhadap syariat yang telah diturunkan oleh kekasih yang mereka cintai iaitu Allah. Mereka juga tidak akan mengkhianati cinta mereka dengan mengabaikan hak kasih kekasih mereka iaitu Rasulullah SAW. Cinta mengumpul dua insan yang tidak pernah kenal. Semua yang jadi penghalang akan di atasi. Semua tidak diendahkan lagi kerana cinta. Cinta itu menundukkan hati untuk patuh taat kepada yang di cintai. Ya Allah aku zikir tapi hatiku lalai. Teruskan zikirmu. Para sahabat cintakan Rasulullah SAW melebihi cinta kepada diri sendiri, maka ikutlah jalan ini supaya terpilih oleh Allah untuk kasih. Moga2 kita mendapat taufiq Allah, dibimbing Allah dan dipimpin untuk hampir kepada Allah dan di kasih oleh seluruh penduduk langit dan bumi.