Wednesday, December 28, 2011

SEBARKAN BAHAGIA

SEBARKAN BAHAGIA
Bahagia itu bukan destinasi
yang belum pasti
bahagia ada setiap hari
dinikmati oleh hati

Bahagia anugerah Ilahi
berhak dimiliki
buat siapa yang mencari
dengan petunjuk hakiki

Bahagia perlu diciptakan
bukan sekadar diangankan
dalam setiap keadaan
dalam setiap kesempatan

Usah terus sengsara
bahagiamu di depan mata
ciptakanlah bahagia
dan sebarkan bahagia

FATIMAH SYARHA

Tuesday, October 18, 2011

ELOK LEPAK DI MASJID !

Pada hari ini Oktober 7, aku rasa ingin berbicara di skrin maya perihal tiga kuliah maghrib yang aku hadiri minggu ini di Masjid as-Salam.

Kuliah maghrib oleh Ust Hafizi tempoh hari mengkhabarkan perihal bidang tasauf, tentang memagari diri dari larangan Allah. Perihal iman yg tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Orang munafik juga solat di belakang Nabi di zaman para sahabat. Maka iman itu membongkar apa yang ada pada hati manusia. Aku ingin tuntut ilmu tasauf. Itu haq aku. Haq aku menuntut ilmu. Ilmu yang maha luas daripada Allah yang Maha Mengetahui. Yes, go tasauf !!

Ustaz Fauzi pula menyeru supaya bagilah peringatan kepada kita atas segala sifat kelalaian. Jadilah hamba kepada Allah bukan hamba kepada Ramadan. Di Ramadan yang baru lalu, orang yang tak solat pun berpuasa sakan. Selepas Ramadan ini, kemana kita? Sepatutnya setelah melalui 30 hari kursus intensif sepanjang Ramadan, makin bertambah ilmu di dada, makin bertambah tahap takwa. Sesungguhnya orang bertaqwa sahajalah yang layak mendapat nikmat syurga Allah.

Jangan makin hari tudung makin singkat, baju makin nipis, solat makin tak khusyuk. Orang yang ada ilmu, sepatutnya penuh akhlak dan amanah. Teringat kisah Imam Ahmad yang mendirikan 300 rakaat solat sunat harian. Dia ulamak akhirat yang patut menjadi idola. Ilmu di dada itu punyai hak untuk dituturkan dan diluah sebagai ingatan demi ingatan untuk elokkan umat mengikut syariat.

Ustaz Salman pula berbicara soal cinta masjid. Panggilan Allah ke rumah-Nya 5x sehari. Apakah bersambut? Di Mekah dan Madinah, di Mesir wujud suasana manusia berebut-rebut ke masjid. Label 'Tutup Untuk Solat' menjadi kebiasaan di premis2 perniagaan mereka. Masjid hidup dengan pelbagai aktiviti malah menjadi pusat masyarakat. Harapnya suatu masa nanti, suasana ini wujud di tempat kita pula.

Masjid sepatutnya menjadi rumah kedua untuk seseorang muslim. Kita patut selalu lepak di masjid, bukan di shopping2 komplek. Masjid itu ialah rumah bagi orang yang bertakwa. Antara 7 golongan manusia yang mendapat naungan Allah di hari kiamat ketika mana tiada naungan lain ialah lelaki yang hatinya di masjid. Tiga ganjaran orang yang menjadikan masjid sebagi 'rumah' ialah Allah bagi kekuatan jiwa, Allah limpahkan rahmat, dan kemudahan melepasi titian sirat.

Allah memanggil kita ke rumah-Nya saban waktu. Sudah tentulah jika kita sayang Allah maka kita akan pergi menyahut panggilan Allah untuk ke rumah-Nya. Ibarat cinta Majnun kepada Laila, jika tidak dapat berjumpa Laila, dapat pergi atau melihat rumah Laila pun jadilah. Jadi jika kita ini cintakan Allah maka sudah tentulah kita akan banyak menghabiskan masa di rumah Allah. Kita mesti bertamu ke rumah-Nya 5x sehari semalam, bukan di waktu malam time maghrib dan isyak sahaja.

Kita sayang dia dan dia juga sayangkan kita. Tapi bila di ajak kenduri kerumahnya, kita tidak kunjung tiba. Maka apakah perasaan dia? Jamuan yang disediakan untuk 1,000 orang tetamu, tetapi yang muncul di hari kenduri itu cuma 100 orang, apa perasaan hati?

Saban waktu kita ini lebih mementingkan rumah orang dari rumah Allah. Walhal setiap langkah menuju rumah Allah akan diberikan 10 kebaikan. Di zaman Rasulullah seorang sahabat ingin membina rumahnya berdekatan dengan masjid supaya senang untuk dia ke masjid, tapi apabila sampai ke pengetahuan Rasulullah, maka Rasulullah melarang dia berbuat demikian. Rasulullah lebih suka dia tinggal di rumahnya yang asal kerana setiap tapak dia melangkah ke masjid itu, Allah akan kira. Setiap langkah, setiap pusingan tayar atas usaha kita untuk ke masjid itu, akan di balas dengan 10 ganjaran pahala oleh Allah SWT. Hebat hebat, Alhamdulillah.

Kita juga mestilah menjaga adab-adab bila berada di rumah Allah. Antaranya ialah:

Menjaga kebersihan diri dan persekitaran masjid
Jangan mengganggu orang lain dengan bau2 yang kurang menyenangkan seperti bau nafas dan bau ketiak
Berpakaianlah dengan elok dan terbaik mengikut kemampuan
Beribadah tanpa mengganggu orang lain contohnya elakkan mengaji Qur'an dengan suara nyaring takut mengganggu orang tengah solat sunat.

Sempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita menanam azam untuk menjadi pencinta Allah yang sejati dengan berusaha semampu mungkin untuk memakmurkan masjid, rumah Allah.

Ada seorang wanita tua berkulit hitam di zaman Rasulullah yang saban hari bertugas membersihkan masjid hinggalah pada suatu hari ajal menjemputnya. Rasulullah agak marah apabila berita kematian wanita tua ini tidak disampaikan kepada Baginda. Rasulullah sangat memuliakan orang yang berbakti menjaga rumah Allah. Kisah itu menunjukkan betapa mulianya wanita tua yang membersihkan rumah Allah ini di sisi Baginda.

Semoga kita tergolong ke dalam kelompok manusia yang mencintai rumah Allah dan menjaganya dengan penuh tertib dan adab. Semoga kita ini lelaki yang hatinya senantiasa terpaut pada masjid dan rindukan untuk berkunjung ke masjid lagi dan lagi.

@@@
Posted by School Of Tots

Tuesday, September 27, 2011

PROGRAM 3R DI ASSALAM BERI KESAN PADA REMAJA YANG MENDALAM


Program Remaja Raikan Ramadhan atau sinonim dengan 3R sekali lagi menemui remaja-remaja Hulu Selangor di Masjid As-Salam Bukit Sentosa. Ini merupakan siri kedua di Hulu Selangor bagi Ramadhan 2011 selepas siri pertama yang telah diadakan di Surau Al-Kauthar, Telipot Bukit Sentosa. 3R juga dijalankan seretak di seluruh Malaysia hari ini dan ia merupakan salah satu program tahunan IKRAM Teens sebagai insiatif pembangunan sakhsiah dengan mengangkat Ramadhan sebagai tema. Tema pada tahun ini ialah " Ramadhan.. Menyegarkan...". Seramai 84 remaja telah mengambil bahagian kali ini.

Program 3R di Masjid Bukit Sentosa kali ini telah dirasmikan oleh Tuan Nazir Masjid iaitu En. Abu Bakar Yang. Beliau mencoretkan kisah Panglima Usamah bin Zaid dan Sultan Al-Fatih yang merupakan dua tokoh yang mempunyai syakhsiah yang cemerlang dan menjadi pemimpin di ketika usia remaja.



Program yang bermula dari pukul 8 pagi dan berakhir dengan berbuka puasa di Masjid ini telah diisi dengan slot aktiviti seperti "Salam perkenalan, Salam ukhuwwah" yang dikendalikan oleh Cikgu Norzira, "Uniknya Ramadhan" yang dikendalikan oleh En. Bukhari dan tidak ketinggalan "Explorace Explorasi Ramadhan" , Bimbingan Solat Dhuha oleh Adik Amin dan Tadarrus Berkumpulan . Remaja juga telah dibahagikan mengikut kumpulan dan dibimbing oleh Fasiliator yang telah dilantik.




Program telah ditutup oleh YDP IKRAM Hulu Selangor, Dr Hj. Muhammad Azhar Zailaini dengan ucapan penghargaan ke atas remaja yang turut serta kali ini dan menyampaikan sijil penyertaan kepada mereka dan juga penyampaian hadiah kepada peserta dan kumpulan terbaik di sepanjang program diadakan . InsyaAllah program 3R yang telah dilalui oleh para remaja ini menjadi pencetus dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan usaha membina sakhsiah yang baik pada diri mereka.

Monday, September 5, 2011

CIRI REMAJA CEMERLANG

Remaja merupakan bakal pemimpin masa depan yang memikul amanah dan tanggungjawab Meneruskan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kita memerlukan golongan remaja yang cemerlang dan peribadi Islam yang mantap bagi membawa hala tuju negara menjadi sebuah negara yang lebih maju dan berjaya.

Antara ciri remaja cemerlang adalah seperti:-

  • memiliki ilmu pengetahuan dan ilmu agama Islam serta mengamalkannya
  • mempunyai tahap disiplin yang kukuh
  • menjadikan budi bahasa sebagai amalan hidup
  • memiliki sahsiah dan ketrampilan diri yang mapan
  • merupakan remaja yang memiliki nilai tambah dan modal insan kelas pertama
  • sihat fizikal dan mental
  • mengamalkan toleransi

Tuesday, July 12, 2011

REMAJA HARUS KEKAL JATI DIRI

‘Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.’

PERNAHKAH anda memandang wajah di cermin, kemudian berasa rendah diri kerana merasakan wajah tidak secantik rakan lain. Hidung tidak semancung artis pujaan. Kulit tidak secerah gadis jiran sebelah rumah?

Pernahkah anda berasa ketinggalan dari sudut fesyen rambut, cara penampilan dan berpakaian serta cara bercakap dan berjalan berbanding teman sebaya?

Pernahkah anda tersinggung kerana melihat teman karib memiliki teman lelaki. Pernahkah anda merasakan diri serba kekurangan kerana tiada buah hati?

Pernahkah anda berasa tidak pergi ke disko atau tidak mengambil pil khayal untuk mengubat kerunsingan itu sesuatu yang ketinggalan zaman?

Semua yang disenaraikan di atas sebenarnya bukan satu senario luar biasa. Ia perkara biasa di kalangan remaja masa kini.

Kajian Prof Dr Azimi Hamzah dari Universiti Putra Malaysia berkaitan remaja dan belia menunjukkan bahawa 68 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun menyukai pakaian trendy berbanding 16.1 peratus yang menggemari pakaian tradisional.

Kajian juga menunjukkan 43.1 peratus menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38 peratus menjadikan ibu bapa sebagai rujukan. Sementara, 14.8 peratus menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.

Kajian juga menunjukkan 31.7 peratus adalah perokok dan 13.6 peratus ketagih alkohol. Sementara, 25.2 peratus menganggap agama tidak penting. Kajian ini bukan saja petanda kepada keadaan kecelaruan remaja hari ini, malahan kecenderungan untuk terpengaruh dengan budaya bercanggah dengan agama melanda dengan hebat remaja kita. Malah, ramai remaja juga menganggap agama tidak penting.

Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.

Dalam bukunya La Tahzan atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan bahasa Melayu Jangan Bersedih – Don’t Be Sad, ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni antara lain menulis:


“Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya, dan suasananya sendiri, kebanyakan akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah, mengada-ngada, berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

“Ketahuilah bahawa diri anda adalah sesuatu yang lain daripada lain – unik. Tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda. Tidak akan ada orang yang akan sama dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan orang lain. Oleh itu, jangan memaksakan diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetap berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri.”

Sebagai umat mulia, remaja Muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk ikut dalam kemajuan zaman, sebab Islam amat menggalakkan umatnya berdaya maju dan menguasai teknologi pada zamannya. Namun, kita harus memiliki panduan dalam keghairahan untuk mengikut trend semasa sama ada dari sudut pakaian, perbuatan, cara hidup dan sebagainya.

Banyak panduan daripada Allah dan Rasulullah dalam persoalan mengekalkan jati diri sebagai seorang remaja Muslim.

Antaranya dari sudut pakaian. Islam menggariskan agar kita memastikan pakaian menutup aurat dan memenuhi tuntutan agama. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, maka Rasulullah berpaling seraya bersabda bermaksud: “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita yang sudah baligh, maka tidak boleh dilihat tubuhnya kecuali ini dan ini dengan menunjuk wajah dan telapak tangan (sampai pergelangan).” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah berfirman bermaksud : “… dan wanita jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa nampak diperhiasan itu.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, Rasulullah mengingatkan supaya tidak cenderung untuk menurut jejak langkah dan budaya orang Yahudi dan Nasrani dari segenap gaya hidup mereka. Sabda Baginda bermaksud: “Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga semua ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada remaja untuk berusaha mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim dalam arus perubahan dunia yang kadang kala melalai dan merosakkan.

-Oleh Roha Hasan-

Friday, April 15, 2011

PEMUDA & REMAJA MUSLIM


~Tanggungjawab Sebagai Remaja Muslim~

Insya Allah peneraju masa depan Islam pada masa akan datang
Berbicara tentang TANGGUNGJAWAB adalah penting bagi setiap individu kerana dengan mengenal TANGGUNGJAWAB dapat mematangkan diri kita.


Tanggungjawab juga adalah AMANAH.

Sebagai satu contoh: cuba kita mengangkat tangan kita ke atas selama berapa minit mungkin...
kita pasti berasa amat letih walaupun kita hanya mengangkat tangan tanpa apa-apa beban
Begitulah juga seperti Amanah(Tanggungjawab)... kita tidak dapat melihatnya namun adalah amat berat untuk memikulnya.

~Sedangkan telah diceritakan bahawa gunung sekalipun yang gah kita melihatnya tidak sanggup bagi nya untuk memikul amanah.
~Oleh yang demikian, kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini perlu sedar bahawa kita memikul tanggungjawab yang besar di dunia yang fana ini.

Kita adalah khalifah di bumi Allah ini




Tanggungjawab Sebagai Remaja Muslim


  • Masa remaja bukan untuk berseronok semata-mata, tetapi mesti diisi dengan ilmu pengetahuan dan penghayatan tentang agama kita, agama Islam
  • Tidak mudah terpedaya dengan unsur negatif
  • Jangan menghabiskan masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan
  • Sentiasalah menghormati ibu bapa
~Pertama, kita perlu sedar bahawa kita hanya sementara di dunia. Oleh itu, kita perlulah mencari seberapa banyak ilmu sebagai bekal untuk hari tua kelak(insyaAllah kalau panjang umur sampailah usia tua). Seterusnya, ilmu yang diperolehi perlulah diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan dikongsi supaya ilmu yang ada tidak dipersiakan



~Seperti yang dapat kita lihat sekarang, banyak perkara yang berlaku sekarang sentiasa mengandungi unsur negatif. Tidak perlu diberikan contoh kerana kita sendiri tahu mengenai perkara ini. Kita sendiri pun tidak tahu yang kita sendiri mungkin terpengaruh dengan unsur negatif



~CINTA? Apakah cinta? Kita sering tertanya-tanya apakah makna cinta ini sebenarnya. Namun yang dapat menyelesaikan persoalan ini adalah diri kita sendiri. Tidak perlu mencari orang lain untuk menerangkannya kerana kita sendiri merasainya. Paling penting adalah CINTA pada ALLAH dan RASULULLAH. Sesungguhnya itu lah cinta yang hakiki.


~Ibu dan Ayah adalah insan terpenting dalam kehidupan kita. Sesungguhnya kita perlu ingat yang Redha Allah terletak pada Redha Ibu dan Ayah kita. Doakanlah kebahagian mereka. Pengorbanan mereka takkan mampu kita balas walaupun dengan apa sekalipun. Janganlah sekipun kita menderhakai mereka dan membuat perkara yang memburukkan nama mereka. Ya Allah, kasihilah ibu dan ayah ku seperti mana mereka mengasihi semenjak aq kecil.

Thursday, March 17, 2011

Alhamdulillah Rakyat Malaysia Selamat Dari Yaman


13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEPANG: Kumpulan pertama seramai 10 rakyat Malaysia termasuk dua wanita mengandung, seorang daripadanya sudah cukup bulan untuk melahirkan, tiba dari Yaman malam Jumaat, di bawah langkah kerajaan memindahkan warga Malaysia keluar dari negara yang sedang bergolak itu.

Mereka tiba dengan pesawat Qatar Airways pada jam 9.01 malam Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Rata-rata mereka kelihatan sayu apabila disambut ahli keluarga masing-masing, manakala yang tidak disambut ahli keluarga pula disediakan pengangkutan dan penginapan sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Pelajar Universiti Al-Iman, Balqis Sabarudin, 32, ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak membawa pulang rakyat Malaysia di sana lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Walaupun kediaman mereka agak jauh dari tempat rusuhan dan keadaan juga masih agak terkawal berbanding Mesir, beliau yang kini mengandung sembilan bulan tetap bimbang akan keadaan mereka sekeluarga termasuk suami dan anak berusia 16 bulan.

"Saya hanya menunggu masa untuk melahirkan sedangkan keadaan di hospital agak kelam-kabut merawat mereka yang cedera dalam rusuhan," katanya.

Pelajar tahun tiga Universiti Sains dan Teknologi Yaman, Mohd Shahril Abdul Samad, 23, berkata beliau lebih risaukan keadaan isterinya yang mengandung empat bulan dalam keadaan kacau-bilau itu.

"Kediaman kami hanya 200 meter dari kawasan tunjuk perasaan itu, kadangkala kami dapat dengar bunyi tembakan.

"Mujurlah kerajaan memindahkan kami ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Yaman yang lebih selamat empat hari sebelum ini, dan kemudian menanggung kami pulang ke Malaysia," katanya.

mStar/-

Friday, January 7, 2011

UKHUWWAH (PERSAHABATAN)

Allah swt menganjurkan umat manusia untuk hidup sebagai satu rumpun yang damai dan harmoni. Peringatan ini dinyatakan dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan yang berpuak-puak adalah dengan tujuan berkenalan antara satu sama lain, sesungguhnya yang paling mulia disisi Allah adalah yang paling bertaqwa dari kalangan kamu.”

Inilah objektif kejadian manusia. Allah swt menjadikan manusia dengan tujuan untuk hidup bersama dengan perasaan hormat menghormati antara satu sama lain. Hidup bukan untuk bermegah-megah atau untuk mencari kesalahan dan kekurangan orang lain.

Dalam menentukan kesinambungan hidup manusia perlu kepada akhlak sebagai pengukur terhadap apa yang dilakukan seharian. Peranan akhlak cukup besar dalam kehidupan umat Islam. Sifat-sifat tercela pastinya tidak akan subur jika seseorang itu diawasi dengan akhlak yang mulia atau dipanggil sifat mahmudah (sifat terpuji). Antara sifat mahmudah ialah bermaaf-maafan, tolong menolong, bertimbangrasa dan sebagainya.

Selain daripada kita dapat hidup dengan tenteram dengan sifat mahmudah tersebut, kita juga akan mendapat balasan pahala yang berganda-ganda dari Allah. Banyak hadis Rasulullah yang menggambarkan perkara ini, antaranya yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang terbaik akhlaknya”

( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh al_Nawas b. Sam’an r.a berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebajikan dan dosa lalu baginda berkata: kebajikan adalah berakhlak baik dan dosa adalah teragak-agak untuk melakukan kebaikan.

( Riwayat Muslim)

Kesan buruk daripada sifat tercela yang bersarang dalam hati dapat dilihat sepertimana yang terdapat dalam hadis berikut iaitu yang bermaksud:

Tiga golongan yang Allah swt tidak akan bercakap dengan mereka di akhirat: Lelaki Tua yang berzina, pemilik yang berbohong dan fakir yang takabbur.

(Riwayat Muslim)

Kehidupan bermasyarakat

Dalam kehidupan bermasyarakat terdapat pelbagai jenis dan ragam sesuatu masyarakat. Bak kata orang rambut sama hitam tapi hati lain-lain, namun begitu kita perlu ingat kita hidup sebagai seorang individu muslim yang mempunyai matlamat hidup yang satu iaitu hidup sebagai hamba Allah yang patuh dan taat. Kalau itu matlamat hidup kita maka kita perlu mewujudkan suasana tersebut dan mengenepikan persoalan yang remeh temeh dalam kehidupan. Kalau tujuan hidup mencari keredaan Allah maka sampingkanlah apa yang lain. Konsep ta’awun (tolong-menolong) dan musyawarah (berbincang) amat penting dalam kehidupan bermasyarakat, barulah kita dapat hidup dengan baik serta diredhai Allah. Allah swt mengingatkan kita tentang ini dalam al-Quran (al-Maidah: 2) yang membawa maksud:

“Bantu membantulah dalam perkara-perkara kebajikan dan jangan tolong menolong dalam hal-hal yang berkaitan dosa dan permusuhan”

Allah mengingatkan kita tentang tolong menolong dalam kebaikan dan jauhi diri dari kemaksiatan. Jangan kita cuba mengelak dari membantu kearah kebaikan dan kita jangan sekali-kali menggalakkan maksiat atau kemungkaran.

Cukup menyedihkan dalam kehidupan umat Islam hari ini apabila sebahagian daripada mereka bertindak sebagai batu api yang menggalakkan permusuhan antara umat Islam. Perkara ini amat dicela oleh Islam.

Konsep ‘musyawarah’ mesti dihidupkan dalam realiti kehidupan umat Islam. Banyak perselisihan berlaku dalam kehidupan kita adalah disebabkan ‘misunderstanding’ atau ‘misinformation’. Jika kita amalkan konsep musyawarah maka pastinya bibit-bibit perpecahan tidak akan berlaku. Dalam satu asar yang bermaksud:

“Tangan (Pertolongan dan keberkatan) Allah bersama kumpulan.”

Satu lagi konsep yang penting mesti dihidupkan dalam masyarakat kita hari ini ialah, konsep mempermudahkan dan jangan menyusahkan. Jika konsep ini dihidupkan pastinya kemesraan akan terjalin sesama anggota masyarakat. Kadangkala kita terlalu mengikut prosedur yang tidak diperlukan walhal jika tidak diikut pun ianya tidak memudaratkan sesiapapun. Namun begitu pihak yang satu lagi mestilah cuba memahami agar jangan terlalu mempermudahkan sesuatu urusan. Kita diajar untuk beradab, tidak menjadi kesalahan jika kita berbincang agar mereka yang berwajib merasakan kita menghargai mereka.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama berlapang dada dan bertolak ansur di kalangan sahabat-handai kita agar konsep ‘ukhuwwah’ yang sering diwar-warkan oleh Islam dapat dihayati dan diamalkan oleh kita bersama. Tiada kemuliaan melainkan dengan menuruti segala panduan dan tunjuk ajar yang telah ditunjukkan Islam. Semoga usaha ini mendapat keberkataan Allah swt.

Sekian terima kasih. Wallahua’lam…